PETALING JAYA: Suasana pekarangan Istana Negara setakat pukul 12 tengah hari ini tenang dan terkawal serta tiada kelibat kenderaan keluar dan masuk melalui pintu utama, di sini.
Tinjauan Utusan Malaysia sejak pagi tadi mendapati, petugas media masih menanti sebarang kemungkinan yang berlaku susulan pertemuan Raja-Raja Melayu dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi membincangkan isu pelantikan Perdana Menteri baharu.
Kira-kira 50 petugas media berkumpul di pintu utama bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung mesyuarat yang dijadualkan berlangsung pukul 2.30 petang ini.
Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut ditempatkan bagi mengawal pergerakan kawasan Istana Negara.
Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu hari ini dilihat sebagai proses akhir sebelum Seri Paduka menentukan pemimpin politik yang benar-benar layak dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan.
Dilaporkan, Seri Paduka dijangka mendedahkan calon berkenaan daripada pelbagai parti politik selepas proses undian semua ahli Parlimen dilakukan dengan menyerahkan surat akuan kepada Istana Negara mengenai calon ketua kerajaan yang disokong mereka.
Semalam, Seri Paduka berkenan menerima menghadap ahli Parlimen dari parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) yang dikatakan menyokong Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, untuk dilantik sebagai Perdana Menteri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Untuk rekod, Ismail Sabri didakwa mendapat sokongan majoriti seramai 114 ahli Parlimen berbanding Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendapat 105 sokongan wakil rakyat.
Muhyiddin dan seluruh Kabinet baru-baru ini telah menyembah maklum surat peletakan jawatan kepada Seri Paduka selepas 15 ahli Parlimen UMNO menarik semula sokongan mereka. – UTUSAN ONLINE