PASIR MAS: Seorang remaja dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah di Kampung Gual Periok di sini, pada 26 Febuari lalu, susulan penemuan lapan cap jari miliknya di lokasi kejadian.
Suspek berusia 18 tahun itu ditahan pukul 1 pagi ini di Rantau Panjang, dekat sini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, penahanan suspek membawa kepada penemuan pelbagai barangan curi dalam kebun getah di Kampung Bakat dan tempat pembuangan sampah di Gual Periuk.
Beliau berkata, operasi itu dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas.
“Hasilnya kita menjumpai barangan seperti batu permata (tiga biji), jam tangan (lima utas), vape (12 unit), power bank (tiga unit), telefon bimbit (sembilan unit), mesin rambut (satu set), kamera DSLR (satu set), beg (lapan unit), dompet (empat unit), topi (lima unit), cermin mata (seunit) dan kotak cermin mata (satu).
“Siasatan awal suspek mengaku telah menyembunyikan kesemua barang kes selepas kejadian,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Nasaruddin memberitahu, pada 25 Febuari lalu pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki yang mendakwa rumahnya di Kampung Gual Periok dipecah masuk pencuri.
Katanya, kejadian pukul 3.30 petang itu menyebabkan pelbagai barangan milik kakak mangsa seperti kamera DSLR, komputer riba, televisyen, beg tangan berjenama dan 12 unit jam tangan berjenama terkemuka yang berada di dalam rumah berkenaan telah hilang.
“Semasa menjalankan siasatan, kita menjumpai lapan kesan cap jari di lokasi. Hasilnya polis telah memberkas suspek.
“Kita tidak menolak kemungkinan suspek dipercayai terlibat dalam aktiviti pecah rumah ini sejak dua atau tiga tahun lalu,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE