Kampung Tok Sadang, Kelantan kena PKPD akibat 2 kluster komuniti - Utusan Malaysia

Kampung Tok Sadang, Kelantan kena PKPD akibat 2 kluster komuniti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penduduk Kampung Tok Sadang di Kelantan antara empat lokaliti dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) serentak bermula Rabu sehingga 17 Ogos ini.

Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ia susulan Kluster Tok Sadang 2 yang diisytiharkan oleh Kementerian Kesihatan pada Sabtu lepas dengan 11 kes berpunca daripada seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun yang mengalami gejala sejak 25 Julai sebelum disahkan positif Covid-19 pada Khamis lalu.

Lokaliti itu juga sudah ada satu lagi kelompok 11 pesakit lagi dikenali Kluster Tok Sadang 1 yang berpunca daripada seorang wanita tempatan berusia 62 tahun bergejala sejak 17 Julai.

“Turut dikenakan PKPD di negeri itu ialah Kampung Belian, Mukim Sungai Pinang, Jajahan Tumpat, manakala di Sarawak, ia melibatkan kuarters pekerja ladang Palmlyn, Mukah selain Sabah melibatkan Kampung Selangon dan Kampung Binsulok, Beaufort,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, Kampung Pituru, Kinarut, Papar, Sabah disambung lagi PKPD selain 12 lokaliti di Terengganu antaranya dua kawasan di Mukim Bandi, Kemaman iaitu Bandar Cheneh Baru dan Felda Neram 2 dan selebihnya Mukim Kuala Dungun iaitu Sungai Buaya, Lembah, Tanah Lot, Padang Jambu, Nibong, Bukit Chatak, Molek, Bijangga, Sungai Udang dan Sungai Penaga.

Tambahnya, di Pahang, lanjutan PKPD membabitkan tiga lokaliti dalam Mukim Ulu Dong, Raub iaitu Kampung Bedu, Kampung Temalian dan Kampung Pamah Kulat.

Bagaimanapun kata Hishammuddin, dua lokaliti di negeri itu yang terletak dalam Mukim Ulu Jelai, Lipis, berakhir PKPD serentak esok iaitu Kampung Kabang dan Kampung Sat termasuk Penjara Sungai Udang, kecuali kuarters, di Melaka Tengah, Melaka.

Di Kelantan, Kampung Gong Jering, Mukim Bukit Jawa, Jajahan Pasir Puteh yang diwartakan PKPD pada 13 Julai lalu, juga tamat lebih awal esok, sementara di Sabah, sembilan lokaliti turut berakhir esok seperti dijadualkan antaranya dua di Sipitang.

Lokaliti itu ialah Kampung Marau dan Kampung Kebawang, manakala selebihnya di Bahagian Pantai Barat iaitu Kampung Meruntum, Putatan; Beverly Hills Fasa 1 dan Cybercity Fasa 2, Penampang serta Jalan Kampung Likas Simpang 3, Api-Api Centre, Taman Ujana Kingfisher, Likas dan Kampung Salut, Telipok, Kota Kinabalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya