Kalau nak tolong, jangan menghina - Utusan Malaysia

Kalau nak tolong, jangan menghina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“MINGGU ini hang tolong tulis pasal seorang penceramah motivasi konon, herdik orang tua. Ada viral dalam Facebook. Geram pula tengok dia, cakap dengan orang tua macam tu. Hang tulis naa…” kata seorang kawan.

Tanpa berfikir panjang saya jawab, malas. Kata saya, penceramah motivasi, selalunya cakap dia saja betul. Ada yang pandai bercakap saja. Mereka pun ada yang memerlukan motivasi.

Pernah juga saya sesekali hendak tengok pakar motivasi live dalam media sosial. Belum apa-apa, disuruhnya kita like dan kongsi sesi itu dan minta kita tunggu supaya ramai masuk. Saya malas tunggu dan bersurai sendiri.

Tetapi disebabkan kejadian sosial media influencer ini tular, saya tengok jugalah.

Betullah, kasihan pak cik itu. Terkutik memegang meja ‘digegar’ begitu. Guna mikrofon pun masih cakap kuat-kuat lagi. Saya dah cakap, pakar motivasi pun ada yang patut dimotivasi.

Mana kita tahu zaman silam pak cik yang mungkin sebaya ayah-ayah kita ini malas atau tak nak pergi sekolah? Kita bukan tahu orang lain punya struggle dalam hidup macam mana. Apa hak kita nak ungkit dan perlekeh masa silam orang lain? Entah-entah pengorbanannya lebih besar daripada apa yang kita buat.

Jangan disibukkan masa silam orang lain, masa depan kita pun belum tahu lagi walaupun masa silam kita perjalanannya tersusun baik.

Apa pun menegur atau memberi motivasi jangan sampai menghina. Adab bercakap dengan orang lebih tua, dari tadika lagi dah diajar.

Yang bagusnya, anak muda yang juga usahawan itu sudah minta maaf. Sudah berjumpa semula pak cik itu. Sudahlah kan. Semua orang buat kesilapan dan dia pun mengaku dapat banyak peng­a­jaran daripada kejadian itu.

Tetapi saya ada baca komen seorang netizen – Menukul paku di papan, paku dicabut papan masih ada bekasnya. – Betul, ini netizen yang tulis, bukan saya cakap.

Netizen pun satu hal juga, Sibuk komen pasal adab. Tapi komen maki hamun itu beradab sangatlah.

Sebenarnya saya mahu ulas hal lain di sini. Mengenai individu dan badan bukan kerajaan (NGO) yang masih giat membantu dalam kempen bendera putih atau apa saja misi bantuan.

Saya ada membaca akaun Facebook yang menyalurkan misi bantuan untuk bendera putih ini. Mulanya ok saja, lama-lama ada yang memuat naik status mengecam orang yang meminta bantuan.

Kenapa begitu? Memanglah kena berhati-hati, bimbang ada scammer. Tetapi jangan terlalu keras buat orang susah yang meminta tolong macam tak ada harga diri pula. Ingat mudahkah hendak minta tolong secara terbuka begitu? Ini ada yang bukan setakat minta alamat dan nombor telefon, nombor IC pun dia nak tahu, kenapa tak minta surat beranak terus?

Jika hendak bantu, tolonglah dengan jiwa dan raga, kalau merungut dan memperlekeh orang susah yang meminta bantuan, lebih baik buat hal sendiri saja. Jika takut kena tipu, pergi sajalah ke rumah orang yang meminta bantuan itu.

Tak perlulah tulis macam-macam, minta gadai emas kalau ada sebelum minta bantuan atau minta makan pil perancang untuk tidak dapat anak kerana minta bantuan susu dan lampin bayi.

Orang miskin harta tak semuanya dia miskin. Orang kaya pula tak semestinya kaya semuanya. Ada yang miskin adab dan jiwa misalnya.

Kadang-kadang ada orang suka-suka hendak ‘tarbiah’ orang yang lemah dan mis­kin. Sebab dia fikir dia ada semuanya. Bila datang tarbiah dari Tuhan, terduduk dia.

PENULIS ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN