‘Kabinet baru sama seperti almari tiada perubahan’ - Anwar - Utusan Malaysia

‘Kabinet baru sama seperti almari tiada perubahan’ – Anwar

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengumuman barisan Kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menghampakan rakyat kerana nama-nama menteri dan timbalan menteri dilantik secara kitar semula daripada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengumuman tersebut menghampakan rakyat terutama apabila nama-nama yang masih berada dalam Kabinet tersebut sebelum ini telahpun gagal menggalas tugas sebagai menteri dan timbalan menteri.

“Pagi tadi Perdana Menteri mengumumkan senarai anggota jemaah menteri dengan timbalan menteri. Tentunya reaksi spontan kalangan rakyat, pengumuman itu mengecewakan dan menghampakan kerana ia hanya kitaran semula seperti mana yang diuar-uarkan dalam media sosial. Secara gurauan mereka menyebut Kabinet baru dan Kabinet lama tetapi macam almari yang tiada perubahan.

“Negara menghadapi krisis akibat Covid-19 yang lebih meruncing dan masalah ekonomi yang menekan rakyat terutama golongan bawahan. Tetapi langkah yang diambil itu hanya kitar semula, menteri-menteri yang tidak menunjukkan keupayaan menangani masalah ini dengan berkesan,” katanya dalam kenyataan itu.

Terdahulu, hampir semua menteri dan timbalan menteri di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik semula sementara hanya beberapa wajah baru kelihatan dan beberapa daripada mereka menukar portfolio.

Anwar turut meluahkan kebimbangannya apabila lantikan-lantikan yang tidak membawa sebarang perubahan itu akan terus menyebabkan Malaysia kehilangan pelabur yang berpotensi menambah pendapatan negara.

“Tetapi apa yang saya kira dengan nyata, lantikan itu tidak mampu menyuntik semangat baru dan keyakinan pelabur dalaman dan luar negara,” katanya.

Walaupun pemimpin Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) sebelum ini telahpun bermesyuarat dengan Ismail Sabri malah telah bersetuju untuk bekerjasama demi kestabilan dan rakyat, Anwar berkata, pembangkang akan terus memantau pemimpin kerajaan sekiranya mereka gagal menggalas tugas dengan baik.

“Perdana Menteri memberikan tempoh 100 hari untuk menteri-menteri tunjukkan prestasi. Satu tahun setengah yang lalu tidak ada kemajuan yang membanggakan.

“Kami sebagai pembangkang akan tetap secara lantang memantau dan menyuarakan dan membantah sekiranya tidak ada program pelaksanaan yang lebih mantap dan berkesan untuk menangani masalah Covid-19 dan membawa perubahan terhadap kehidupan rakyat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN