Jumlah kedatangan pesakit Covid-19 di HTAR menurun

Jumlah kedatangan pesakit Covid-19 di HTAR menurun

AZMIZAM Zaman Huri (tengah) bersama Dr. Zulkarnain Mohd Rawi (kanan) melihat kontena penyimpanan jenazah Covid-19 sumbangan ADUN Pelabuhan Klang dan pelbagai pihak di Unit Forensik, HTAR hari ini. - FOTO/ZULFADHLIZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Tiada lagi kesesakan dilihat berlaku di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini apabila pesakit yang datang ke sana dilaporkan menurun sehingga lebih 70 peratus sejak seminggu lalu.

Pengarahnya, Dr. Zulkarnain Mohd. Rawi berkata, kira-kira 400 pesakit sedemikian diterima sepanjang Julai tetapi bilangannya didapati menurun kepada bawah 100 individu sahaja sejak awal bulan ini.

“Kebanyakan pesakit yang diterima minggu ini merupakan individu berusia 50 tahun ke atas yang belum lagi mendapat suntikan vaksin Covid-19. Jadi, kita galakkan orang ramai supaya mengambil imunisasi ini bagi mencegah jangkitan termasuk ibu mengandung,” katanya.

Sebelum ini, hospital ikonik Klang itu pernah beberapa kali tular apabila menerima lambakan pesakit Covid-19 di Jabatan Kecemasan dan Trauma sehingga pengurusannya terpaksa menempatkan katil sementara di hadapan bahagian luar wad.

Bagaimanapun, masalah itu diselesaikan apabila pengurusan hospital menukar beberapa unit dan kawasan dalam hospital itu termasuk Kompleks Rawatan Harian kepada wad sementara bagi menempatkan pesakit di tempat yang lebih selesa dan selamat.

Namun, beliau ketika ditemui hadir menerima kontena simpan mayat mangsa Covid-19 yang diserahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri, memberitahu wad sementara di HTAR masih lagi beroperasi untuk merawat pesakit berkenaan.

Dalam pada itu, Zulkarnain menzahirkan penghagaan di atas sumbangan kontena diberikan Azmizam yang merupakan sumbangan ADUN Pelabuhan Klang dan beberapa pihak berharap dapat menyelesaikan masalah kekurangan ruang penyimpanan jenazah Covid-19 di masa akan datang.

“Kontena tersebut digunakan untuk memastikan jenazah pesakit terpelihara sebelum dikebumi atau dikremasi. Terimakasih saya ucapkan atas sumbangan ADUN Pelabuhan Klang dan pihak berkenaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN