JPJ Pulau Pinang keluarkan 47 kompaun bernilai RM203,500  - Utusan Malaysia

JPJ Pulau Pinang keluarkan 47 kompaun bernilai RM203,500 

AEDY FADLY Ramli melakukan pemeriksaan  dalam operasi di ttol Sungai Dua, Butterworth, Pulau Pinang, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengeluarkan sebanyak 47 notis atas pelbagai kesalahan jalan raya membabitkan kompaun berjumlah RM203,500.

Kompaun berkenaan dikeluarkan menerusi Operasi Penguatkuasaan Akta 342 Pematuhan Pematuhan SOP Covid-19 dan Penguatkuasaan Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang dilaksanakan di kelima-lima daerah di negeri ini bermula 25 Julai lalu.

Daripada jumlah terbabit, 19 kompaun tertinggi berjumlah RM134,000 dicatatkan bagi kategori syarikat membabitkan tujuh notis kesalahan tiada saringan dan peralatan saringan suhu; tiada kod QR MySejahtera (9) serta masing-masing tiga kesalahan tiada pendaftaran buku penumpang serta cecair pembasmi kuman yang sepatutnya disediakan syarikat atau pemegang lesen.

Bagi kategori individu, sebanyak sembilan kompaun berjumlah RM16,000 dikeluarkan  membabitkan enam notis kesalahan tidak mengimbas kod QR Mysejahtera dan notis kesalahan tidak mengimbas suhu (3).

Selain itu, 18 notis kesalahan bernilai RM53,500 berkaitan kenderaan perdagangan membabitkan bas, teksi, e-hailing dan teksi serta satu notis kesalahan kenderaan persendirian yang melebihi kapasiti dibenarkan turut dikeluarkan sepanjang tempoh terbabit.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, sebanyak 14 notis kesalahan membabitkan kompaun berjumlah RM50,000 dikeluarkan dalam operasi yang berlangsung di tol Sungai Dua bermula pukul 4 petang sehingga 11 malam.

“Sebanyak 230 kenderaan diperiksa dan kita dapati banyak ketidakpatuhan berlaku membabitkan pengguna jalan raya yang boleh menyebabkan kes Covid-19 meningkat.

“Justeru, operasi sebegini akan dilaksanakan dari semasa ke semasa bersama pelbagai agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) supaya penularan wabak ini dapat dikekang.

“Diharapkan pengguna jalan raya dan pengusaha kenderaan yang memiliki kelulusan untuk beroperasi mematuhi SOP yang ditetapkan manakala orang awam kekal di rumah atau keluar sekiranya benar-benar perlu sahaja,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN