MARAN: “Jiwa saya tetap UMNO tetapi sokongan terbuka terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin demi rakyat dan kesinambungan pembangunan negara”.
Demikian tegas Ahli Parlimen Maran dari parti UMNO yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib.
Beliau menegaskan, jika semua menteri UMNO berhenti, siapa akan ‘membuat kerja’ meneruskan agenda negara seperti menangani pandemik Covid-19.
Tambahnya, dalam situasi pandemik ketika ini, semua pihak tidak sewajarnya terus berpolitik kerana ia boleh menjejaskan usaha membela rakyat.
“Saya Ahli Parlimen UMNO pertama yang mengisytiharkan sokongan penuh kepada Perdana Menteri setelah mengambil kira keperluan kerajaan Perikatan Nasional (PN) cukup majoriti memerintah.
“Setakat ini, saya belum menerima surat tunjuk sebab dari UMNO tetapi hanya mengetahuinya daripada media massa,” katanya kepada pemberita selepas meninjau program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di Dewan Semai Bakti Felda Jengka 3 di sini hari ini.
Ismail antara 31 Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang dikatakan menyokong Kerajaan PN dalam sidang akhbar khas oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam.
Dalam sidang akhbar berkenaan, hanya 21 yang hadir termasuk Ismail manakala 10 tidak hadir namun didakwa memberi sokongan kepada PN.
Rabu lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memutuskan UMNO menarik sokongan kepada PN dan Muhyiddin dengan ketika itu dikatakan terdapat 11 Ahli Parlimen UMNO memutuskan berbuat demikian.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, sokongan dan pendiriannya adalah selaras dengan titah dan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa BIllah Shah.
“Sokongan saya terhadap Muhyiddin kerana dia Perdana Menteri kerajaan hari ini, ia sama sokongan saya terhadap Perdana Menteri terdahulu seperti Datuk Seri Najib Tun Razak, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Dr. Mahathir Mohamad,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau tidak berminat mengulas tentang isu perpecahan membabitkan UMNO kerana fokusnya berkhidmat kepada rakyat, agama dan negara.










