Jenazah mangsa Covid-19 dikebumi secara berpusat 

Jenazah mangsa Covid-19 dikebumi secara berpusat 

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Waris jenazah yang meninggal dunia akibat Covid-19 di negeri ini tidak boleh lagi memilih tanah perkuburan untuk mengebumikan berikutan pelaksanaan pengebumian yang akan dijalankan secara berpusat.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, langkah itu terpaksa diambil bagi memastikan urusan pengebumian jenazah dapat dipercepatkan.

Katanya, pelaksanaan pengebumian secara berpusat itu akan dilaksanakan di Kuala Muda terlebih dulu sebelum dituruti daerah-daerah lain.

“Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Exco hari ini dengan kesemua 75 kariah di Kuala Muda akan bergilir-gilir menerima jenazah setiap hari untuk dikebumikan di kawasan mereka.

“Langkah ini terpaksa diambil kerana kita mahu mempercepatkan urusan pengebumian mengikut syarak. 

“Prosedur operasi standard (SOP) menetapkan setiap jenazah perlu dikebumikan antara lapan hingga 12 jam selepas meninggal dunia tetapi kini ada yang terlewat selama 20 jam hingga menyebabkan bilik mayat serta kontena mengisi mayat padat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco secara dalam talian di sini hari ini.

Sebelum ini, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Othman Warijo mengesahkan bahawa dua hospital di Kedah memerlukan kontena sejuk beku bagi menempatkan mayat pesakit Covid-19 yang kian meningkat kebelakangan ini.

Menurut Othman, peti-peti mayat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Kuala Muda dan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Kota Setar sentiasa penuh menyebabkan mayat-mayat tersebut terpaksa ditempatkan dalam kontena berkenaan.  

Muhammad Sanusi berkata, pada masa ini, di Kuala Muda hanya lima jenazah yang mampu dikebumikan setiap hari sedangkan jumlah kematian mencecah antara 10 hingga 12 orang sehari.

“Bagi kematian melibatkan kes Covid-19, upacara pengebumian memerlukan kehadiran inspektor kesihatan.

“Dalam keadaan inspektor kesihatan di Kuala Muda cuma ada tiga orang, sudah tentu ada kekangan untuk mereka bergerak dari satu tanah perkuburan ke tanah perkuburan lain sekali gus melambatkan urusan pengebumian.

“Jika diadakan pengebumian secara berpusat, maka jenazah-jenazah tersebut boleh dikebumikan di satu kawasan saja dan urusannya boleh dipercepatkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN