PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan penipuan penjualan minyak Precatoria yang didakwa digunakan untuk menghasilkan vaksin Covid-19.
Setakat ini, polis menerima lima aduan melibatkan jumlah kerugian sebanyak RM128,498 berkaitan sindiket penipuan jualan tersebut.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, modus operandi sindiket penipuan adalah dengan menghantar emel kepada syarikat yang disasarkan membeli minyak tersebut.
Katanya, syarikat yang berminat kemudian diminta membuat pembayaran kepada akaun yang diberikan bagi tujuan membeli sampel bahan organik untuk menghasilkan vaksin Covid-19.
“Bagaimanapun, selepas melakukan pembayaran, mangsa tidak menerima sebarang sampel yang dijanjikan dan sindiket penipuan juga gagal dihubungi.
“Kita dapati sindiket penipuan cuba menjadikan isu Covid-19 sebagai modal untuk meraih keuntungan. Jadi orang ramai perlu supaya berhati-hati dengan perkara seperti ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd. Kamarudin, kerajaan sentiasa memberi keutamaan dalam sebarang inisiatif menangani Covid-19 sama ada daripada segi pemberian vaksin mahupun kajian pembangunan vaksin.
“Sewajarnya, mana-mana individu atau syarikat yang ingin terlibat perlu merujuk kepada agensi kerajaan yang berkaitan sebelum membuat keputusan,” katanya. – UTUSAN ONLINE