Jangan remehkan peranan Kementerian Kesihatan kerana pendirian politik - Utusan Malaysia

Jangan remehkan peranan Kementerian Kesihatan kerana pendirian politik

MOHD. MAZRI YAHYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pendirian politik yang berbeza tidak sewajarnya dijadikan faktor pihak tertentu meremehkan peranan dimainkan para petugas Kementerian Kesihatan yang sentiasa berusaha setiap masa memerangi Covid-19.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor, Prof. Madya Dr. Mohd. Mazri Yahya berkata, apabila menularnya pandemik itu, Kementerian Kesihatan telah bertungkus-lumus menyedarkan masyarakat tahap serius Covid-19 yang kini melibatkan lebih sejuta rakyat dan lebih 4,000 kematian.

Beliau yang merupakan Pengerusi Lajnah Kesihatan Pas Pusat berkata, parti itu sentiasa berada di belakang Kementerian Kesihatan terutamanya para petugas kesihatan dan barisan hadapan lain yang menjalankan tanggungjawab masing-masing.

“Apabila masyarakat mempertikai peranan vaksinasi, Kementerian Kesihatan yang menyedarkan masyarakat akan keperluannya dan sehingga kini hampir 70 peratus masyarakat Malaysia dewasa telah mendaftar.

“Apabila sebahagian ahli masyarakat menyebarkan maklumat palsu berkenaan penyumbatan saluran darah atau teori konspirasi nanochip akibat vaksin, kementerian itu juga yang membetulkan maklumat salah tersebut dan sehingga kini ia diterima oleh semua melainkan golongan anti vaksin,” katanya dalam Facebook miliknya hari ini.

Tambah Pakar Perunding Pembedahan Am dan Vaskular Hospital Pakar KPJ Johor itu, ketika kes tidak terkawal di Lembah Klang, operasi lonjak dilaksanakan Kementerian Kesihatan untuk mencapai sasaran 80 peratus vaksinasi dalam minggu pertama Ogos.

“Justeru apabila Kementerian Kesihatan melaporkan adanya varian Delta di dalam negara dan kemungkinan di Parlimen, maka kami percaya ia adalah kebetulan dan akan mengakibatkan kita semua sekiranya kita bersikap sambil lewa.

“Maka kami menyeru masyarakat, janganlah disebabkan pendirian politik, kita meremehkan perhatian berat Kementerian Kesihatan. Ingat, varian Delta adalah lebih ganas dan lebih cepat merebak. Maka patuhilah prosedur, ikutlah nasihat semoga kita semua terpelihara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya