ALOR SETAR: Masyarakat harus mengambil pengajaran daripada setiap tindakan yang diambil pihak berkuasa dalam menangani ucapan kebencian atau ‘hate speech’ yang berleluasa dalam kalangan netizen di media sosial.
Pengarah Jawatankuasa Hak Asasi Manusia & Undang-Undang (Juham) Dewan Pemuda Pas Kedah, Ibrahim Ismail berkata, pihak mempersoal laporan polis terhadap individu yang membuat komen jelik dan mempunyai unsur jenayah serta ditangkap sebagai suatu ugutan untuk menakut-nakutkan pengkritik sebagai tidak berasas.
“Perbuatan kecam badan (body shaming), penghinaan dan gangguan adalah kesalahan yang paling kerap dilakukan pengguna media sosial.
“Melemparkan perkataan yang sangat jelik kepada orang lain secara terbuka adalah pelanggaran jelas tatasusila masyarakat.
“Tambah parah sekiranya perkataan atau isyarat yang dimaksud mengaibkan kehormatan seseorang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau menambah, secara asas, hak kebebasan bersuara di Malaysia dijamin Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan namun pengubalan undang-undang yang boleh menyekat kebebasan bersuara juga termaktub di bawah Perkara 10(2)(a) dan Perkara 10(4) Perlembagaan Persekutuan.
“Tiada definisi bersuara atau bercakap dalam Perlembagaan, malah apa jua bentuk ekspresi termasuklah berpakaian, aksi, lukisan,mural dan ekspresi mengikut medium-medium tertentu boleh dianggap sebagai bersuara dan bercakap,” katanya.
Tambahnya, pihak berkuasa terutama polis kerap kali menasihatkan masyarakat agar tidak menyalahgunakan media sosial dengan memuatnaik video dengan kata-kata jelik, apatah lagi bersifat menghina.
“Mahkamah juga sering menekankan dalam penghakimannya bahawa sangat penting keseimbangan yang tepat antara simpati terhadap pesalah dengan penderitaan dan kesusahan yang ditanggung oleh mangsanya atau kerosakan atas kesalahan jenayah yang dilakukannya kepada masyarakat.
“Maka undang-undang di situ untuk mengimbangi hak dan kebebasan rakyat,” ujarnya.
Sehubungan itu, katanya, pemimpin politik juga tidak wajar memberi sokongan kepada pelaku perbuatan tersebut semata-mata ingin meraih sokongan rakyat kerana ada di kalangan mereka juga pernah menjadi mangsa komen jelik dan mengaibkan. – UTUSAN ONLINE










