PETALING JAYA: Jawatan Menteri Pengajian Tinggi tidak wajar dijadikan sebagai alat tawar-menawar untuk meraih sokongan atau sebagai alat untuk menguasai pemikiran anak muda negara ini.
Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) dalam kenyataan memaklumkan, pelantikan Menteri Pengajian Tinggi yang baharu merupakan satu perkara amat penting apabila individu memegang portfolio ini perlu memiliki kelayakan dalam menjaga hak kumpulan mahasiswa.
Justeru kata kenyataan itu lagi, pemimpin yang bakal perlu dilantik dalam kalangan tokoh berkaliber dan mampu menambah baik kualiti sistem pengajian tinggi negara dan menjiwai serta menjaga kebajikan mahasiswa.
“Hal ini perlu dititikberatkan kerana ia berkait rapat dengan kaliber pemegang jawatan ini untuk memperkenalkan strategi-strategi yang dapat menambah baik kualiti pengajian tinggi serta kebajikan mahasiswa.
“Berbanding sebelum ini keputusan membenarkan mahasiswa pulang ke kampus pada Mac lalu berakhir dengan ‘u-turn’ pada akhir dan menjadi contoh kegagalan yang membawa pelbagai masalah. Selain itu, pengenalan kempen pertandingan menghasilkan video TikTok dianggap tidak memberi apa-apa manfaat kepada peningkatan intelek dan kebajikan mahasiswa,” kata kenyataan itu hari ini.
Oleh demikian, KMUM mahu seorang Menteri Pengajian Tinggi berupaya memberi perhatian terhadap hak-hak pelajar yang bukan sahaja merangkumi keperluan asas, tetapi melibatkan inisiatif dan bantuan buat golongan B40 yang berbentuk subsidi kewangan dan peralatan elektronik untuk pembelajaran dalam talian.
“Ia juga merangkumi hak-hak mahasiswa seperti kebebasan bersuara, hak mengundi bermula daripada umur 18 tahun, autonomi pelajar dan sebagainya.
“KMUM berharap agar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil pengajaran daripada kegagalan kerajaan sebelum ini untuk menjalankan tugasnya sebaik mungkin sehingga mengabaikan hak dan kebajikan rakyat termasuk mahasiswa,” kata kenyataan itu lagi.
Dalam pada itu, KMUM memohon Perdana Menteri agar memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 kerana ia dilihat menyekat hak dan kebebasan mahasiswa serta mengandungi unsur-unsur tidak mencerminkan tadbir urus yang baik.
Malah KMUM berpandangan, undang-undang itu menyebabkan kebanyakan ahli Senat universiti awam dilantik oleh Timbalan Naib Canselor terlebih dahulu dilantik oleh Menteri Pengajian Tinggi apabila sesetengah keputusan dipengaruhi sikap hutang budi dan tidak dalam aspek memperjuangkan kebebasan akademik yang banyak berkait rapat dengan kualiti pendidikan mahasiswa
“Selain itu, walaupun pengurusan IPTA diberikan kuasa mutlak dalam hampir semua perkara. Namun begitu, banyak keputusan yang dilaksanakan wujud karenah birokrasi, tanpa penglibatan wakil mahasiswa secara langsung sehingga mencetuskan pelbagai masalah yang berbangkit.
“KMUM berpendapat bahawa Ismail Sabri sebagai seorang bekas pemimpin mahasiswa seharusnya memahami kesusahan dan keburukan yang timbul disebabkan oleh AUKU. Oleh sebab itu, KMUM menggesa supaya AUKU dimansuhkan selaras prinsip mahasiswa berautonomi,” kata kenyataan sama. – UTUSAN










