Ingkar divaksin boleh dikenakan tindakan - Tentera Darat - Utusan Malaysia

Ingkar divaksin boleh dikenakan tindakan – Tentera Darat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengambilan suntikan vaksin bagi anggota tentera diwajibkan terutamanya sebelum melaksanakan sesuatu penugasan.

Tentera Darat dalam satu kenyataan berkata, tindakan seseorang anggota tentera yang enggan menerima vaksin boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan tatatertib kerana melanggar perintah tetap perkhidmatan.

Katanya, bagaimanapun pengecualian diberikan kepada mereka yang tergolong di dalam kumpulan yang tidak layak untuk menerima vaksin.

“Pengambilan vaksin dalam kalangan anggota Tentera Darat diwajibkan atas dasar anggota hidup secara berkelompok. Selain itu, peranan dan tanggungjawab anggota tentera sebagai petugas barisan hadapan dalam melaksanakan penugasan mahupun latihan, turut berdepan dengan penularan Covid-19.

“Sehubungan itu, adalah wajar untuk semua anggota Tentera Darat mengambil vaksin bagi mengekang penularan yang bukan sahaja akan berlaku dalam kalangan anggota, bahkan boleh menjangkiti keluarga anggota tentera dan masyarakat keseluruhannya,” katanya di sini hari ini.

Sebelum ini seorang anggota tentera Batalion 24 Rejimen Askar Diraja Malaysia (24 RAMD) yang berpangkalan di Kem Rasa, Negeri Sembilan dibuang perkhidmatan selepas enggan menerima suntikan vaksin Covid-19.

Dalam pada itu, Tentera Darat berkata, langkah vaksinasi ini juga bertujuan mendukung hasrat dan aspirasi kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok dan seterusnya memutuskan rangkaian penularan wabak Covid-19 di negara ini.

“Setiap anggota hendaklah mematuhi dan menuruti perintah yang telah dikeluarkan, bagi menentukan misi dan kesiapsiagaan organisasi tercapai,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN