Identiti Digital Nasional manfaatkan pengguna - Utusan Malaysia

Identiti Digital Nasional manfaatkan pengguna

KERATAN akhbar Utusan Malaysia hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Identiti Digital Nasional (NDID) yang bakal diperkenal secara berperingkat oleh kerajaan sebelum 2023 memberi kemudahan kepada pengguna dengan sistem yang lebih canggih.

Bercakap kepada Utusan Online, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd. Yusoff Abdul Rahman berpendapat, pelaksanaan sistem itu lebih memudahkan pengguna termasuk urusan ke luar negara di Jabatan Imigresen.

“Kebersediaan masyarakat menerima sistem ini  tertakluk kepada bagaimana ia memudahkan mereka. Kalau mudah digunakan segenap lapisan masyarakat, tiada isu rakyat tidak boleh terima.

“Selain itu, proses transaksi dijalankan di peringkat antarabangsa lebih efisien. Transaksi antara pelbagai pihak juga boleh dimanfaatkan selain ciri-ciri yang mampu membantu sektor perniagaan.

“Kewangan dan e-wallet yang lebih memudahkan akan digunakan secara meluas sehingga rakyat tidak perlu membawa wang yang banyak dan membuat transaksi melalui aplikasi atau sistem tersebut,” katanya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan inisiatif kerajaan memperkenal NDID sebagai proses pengesahan identiti seseorang secara elektronik berdasarkan ciri-ciri biometrik seperti 10 cap jari, pengecaman wajah, iris, suara dan DNA melalui penggunaan pelbagai medium.

Pengesahan boleh dilakukan melalui medium seperti telefon pintar, peranti elektronik, kad pintar, teknologi awam (cloud technology) dan lain-lain teknologi di masa hadapan.

Menurut Mohd. Yusoff, negara dalam kesukaran melibatkan perhubungan secara fizikal akibat Covid-19 dan terdapat negara-negara yang menetapkan pengambilan vaksin lengkap dua dos untuk pendatang dibenarkan masuk selain sijil vaksin digital imunisasi.

“Jelasnya, sekiranya sistem NDID ini dapat menyertakan sekali sijil tersebut dalam sistem, ia dapat memudahkan urusan pengguna. Perkara ini turut berkepentingan ketika sistem ini dapat memberikan keselamatan optimum dan mengelakkan unsur penipuan, penyalahgunaan dan pemalsuan.

“Sistem ini diharapkan mempunyai ciri-ciri keselamatan dalam proses ke luar negara. Rakyat perlu bersedia menerimanya walaupun sedang mendepani pandemik dan cabaran baharu termasuk mewujudkan ciri-ciri teknologi canggih, menuju ke Revolusi Industri 4.0,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya