MELAKA: Seorang ibu tunggal tidak menyangka dana sebanyak RM15,000 bagi pembedahan saluran jantungnya di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada 23 Ogos depan berjaya dikumpul dalam tempoh dua hari.
Noor Shamsiah Abu Hasan, 45, berkata, dia sebenarnya telah berputus asa selepas puas berikhtiar dengan pergi ke pelbagai tempat dan agensi berkaitan.
Menurutnya, selepas berjumpa dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Datuk Dr. Wong Fort Pin pada 3 Ogos lalu, dirinya kembali ceria apabila seperti diberikan ‘talian hayat’.
“Saya tidak letak harapan tinggi dan reda sekiranya sumbangan berkenaan tidak mencapai sasaran yang ditetapkan. Selepas dua hari saya dimaklumkan bahawa dana untuk pembedahan sudah mencukupi.
“Saya sendiri terkejut kerana dalam tempoh yang singkat, jumlah itu berjaya dicapai. Saya mengucapkan terima kasih kepada masyarakat yang prihatin dan sudi menderma,” katanya pada sidang akhbar penyerahan dana pembedahan jantung di Bukit Baru di sini, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan seorang ibu tunggal memerlukan sumbangan dana bagi menjalani pembedahan segera selepas disahkan salur jantungnya bocor dan menyebabkan kesihatannya semakin merosot sejak awal tahun ini.
Sementara itu, Fort Pin mengakui, dia sendiri khuatir sama ada jumlah RM15,000 dapat dikumpul dalam tempoh seminggu memandangkan setakat tengah hari semalam, ia baru mencecah RM1,900.
Menurut beliau, usaha mengumpul dana daripada orang ramai juga merupakan kali pertama dilakukannya.
“Bagaimanapun kerjasama dan keprihatinan masyarakat sangat tinggi. Sumbangan terus diterima daripada pelbagai pihak tidak kira bangsa dan agama bagi membantu Noor Shamsiah.
“Saya juga telah menghubungi bahagian kewangan IJN dan kos sebenar hanya diketahui apabila Noor Shamsiah mendaftar keluar. Saya sendiri akan menyerahkan cek ini kepada IJN,” katanya.
Dalam pada itu, Fort Pin yang juga bekas Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka memberitahu, kutipan dana berkenaan telah dihentikan setelah berjaya mencapai matlamatnya. – UTUSAN