PUTRAJAYA: Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bakal mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN (AMM) ke-54 secara persidangan video mulai esok hingga 7 Ogos ini.
Kementerian Luar Negeri menerusi kenyataan akhbar memaklumkan, Menteri Luar Negeri ASEAN akan membincangkan kemajuan Pembangunan Komuniti ASEAN, Keutamaan dan Hasil Utama ASEAN termasuk strategi bersama pemulihan sosioekonomi Covid-19.
Katanya, turut dibincangkan ialah pelaksanaan Pelan Pembangunan Keselamatan Politik ASEAN 2025, isu-isu serantau serta persiapan untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 serta mesyuarat-mesyuarat berkaitan yang dijadualkan pada Oktober depan.
“Secara keseluruhannya, Hishammuddin dijadual menyertai 18 mesyuarat sepanjang enam hari AMM ke-54 ini antaranya Mesyuarat Suruhanjaya Kawasan Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara, Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN ke-23 dan Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN ke-29.
“Beliau juga menyertai Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri Sempena Sidang Kemuncak Asia Timur Ke-11 dan Forum Serantau ASEAN ke-28, ” jelasnya.
Kesemua mesyuarat tersebut dihoskan Brunei selaku Pengerusi ASEAN 2021.
Selain itu katanya, Hishammuddin dan rakan sejawatnya dari Australia, iaitu Menteri Luar Negeri dan Menteri Wanita Australia, Marise Payne, akan mempengerusikan secara bersama Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN-Australia.
Malaysia merupakan negara penyelaras untuk hubungan dialog ASEAN-Australia bagi tempoh 2018-2021.
Di akhir mesyuarat tersebut, Malaysia akan menyerahkan peranan sebagai negara penyelaras untuk hubungan dialog ASEAN-Australia kepada Laos.
“Malaysia juga mengambil alih peranan negara penyelaras untuk hubungan dialog ASEAN-Kanada daripada Myanmar selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN-Kanada,” katanya.
Tambahnya, di akhir AMM ke-54 dan mesyuarat berkaitan, Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN dijangka memperakukan beberapa dokumen, termasuk kenyataan bersama AMM ke-54 yang akan memperincikan hasil perbincangan serta keputusan strategik yang dicapai semasa mesyuarat-mesyuarat tersebut.










