PETALING JAYA: Semua pihak diminta hentikan sebarang spekulasi dan menyerahkan segala siasatan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kejadian tembakan melibatkan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, TUDM juga telah menubuhkan lembaga siasatan dalaman untuk menyiasat kejadian yang berlaku.
“Saya berharap tiada sebarang spekulasi dan penyebaran berita tidak benar berhubung kejadian ini sehingga selesai siasatan PDRM bagi menjaga sensitiviti serta nama baik ahli keluarga perajurit terlibat.
“TUDM telah menguruskan semua urusan berkaitan pengkebumian jenazah termasuk urusan kebajikan waris perajurit yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Empat anggota TUDM maut selepas seorang daripada mereka mengamuk dan melepaskan tembakan kepada rakan sebelum menembak diri sendiri dalam kejadian di Skuadron 330 TUDM Kota Samarahan, Sarawak.
Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengucapkan takziah kepada semua waris perajurit yang terlibat. – UTUSAN