Henti segera semua aktiviti di kawasan sensitif ekosistem Gunung Jerai - Utusan Malaysia

Henti segera semua aktiviti di kawasan sensitif ekosistem Gunung Jerai

SALAH sebuah rumah yang rosak di Kampung Sungai Badak, Gurun selepas kejadian kepala air dari berapa kawasan peranginan di kaki Gunung Jerai, Yan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) mendesak semua aktiviti yang memusnahkan di kawasan ekosistem sekitar Gunung Jerai, Yan, Kedah dihentikan segera.

Dalam kenyataan bersama, Presiden CAP, Mohideen Abd. Kader dan Presiden SAM, R. Menaakshi menegaskan, semua aktiviti di kawasan yang disifatkan mudah terjejas itu perlu disiasat dan langkah pemulihan diambil bagi mencegah jejak kemusnahan seperti aliran lumpur, tanah runtuh dan banjir.

Sambil melahirkan rasa sedih dengan kehilangan nyawa akibat kejadian banjir di situ semalam, menurut kenyataan itu, bencana tersebut mungkin bukan disebabkan oleh aktiviti pembalakan seperti dinafikan sesetengah pihak.

Namun tegas mereka, apa yang pasti wujud aktiviti penebangan pokok dan pembersihan hutan di kawasan itu malah banjir lumpur yang dilihat di dalam video insiden terbabit jelas menunjukkan kesan daripada aktiviti pembersihan tanah.

“Kami bersama penduduk di Bukit Singkir, Yan telah membantah projek kuari di Hutan Simpan Gunung Jerai lebih daripada 15 tahun lalu.

“Kuari itu dibenarkan beroperasi oleh Kerajaan Negeri Kedah ketika itu walaupun melanggar Rancangan Tempatan Yan,” katanya.

Menurut mereka, sebarang aktiviti pembersihan hutan di kawasan sensitif alam sekitar itu tidak seharusnya berlaku namun imej daripada Google menunjukkan banyak pokok telah ditebang dan operasi melombong berjalan.

Sehubungan itu tegas mereka, bencana banjir tersebut seharusnya menjadi peringatan serius dan Kerajaan Negeri Kedah mesti bertindak dan tidak melihatnya sebagai satu takdir.

Ini kerana katanya, tragedi itu berlaku berikutan operasi syarikat yang dibenarkan oleh Kerajaan Negeri Kedah walaupun berlawanan dengan Rancangan Tempatan Daerah Yan.

“Gunung Jerai merupakan kawasan sensitif alam sekitar yang mesti dilindungi dan tidak dimusnahkan.

“Semasa hujan lebat jumlah besar kelodak akan dibawa turun daripada cerun yang telah dilemahkan oleh penebangan hutan dan peningkatan aktiviti yang memusnahkan di situ,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN