Henti budaya bercakaran sesama ahli politik - Utusan Malaysia

Henti budaya bercakaran sesama ahli politik

MOHAMMAD NIZAR JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Budaya politik baharu dalam pentadbiran di Perak perlu diteruskan agar menjadi contoh kepada pimpinan kerajaan peringkat Pusat.

Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (Amanah- Sungai Rapat) berkata, budaya bercakaran perlu dihentikan supaya ahli politik dapat menjelmakan diri sebagai pemimpin yang membantu rakyat.

Menurut beliau, realiti politik negara selepas 60 tahun masih memperlihat kemelut yang tidak berkesudahan apabila ada dalam kalangan pemimpin politik masih bertelingkah dalam soal pentadbiran.

“Nak tentukan nama kerajaan pun bercakaran, satu kata Perikatan Nasional, satu lagi tak boleh,  nak Barisan Nasional, bila nak habis pun tahu.

“Jadi kita cadangkan di Perak ini mestilah ditonjolkan sebagai kerajaan yang boleh dicontohi di peringkat Pusat yang mana kita teruskan budaya hormat menghormati dan bekerjasama,” katanya ketika sesi perbahasan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-14 di sini, hari ini.

Bertitah pada Istiadat Pembukaan Persidangan Tahun Keempat DUN Perak ke-14 semalam, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengingatkan kesemua 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) agar mempamerkan semangat politik matang beraras tinggi dengan terus memberi kerjasama terhadap usaha dilaksanakan kerajaan negeri.

Sultan Nazrin bertitah, langkah dirintis Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad yang mengenepikan diskriminasi sama ada ahli dewan dari parti pembangkang atau pemerintah merupakan langkah berani, memperkenalkan budaya baharu dalam pentadbiran negeri.

Mohammad Nizar berkata, titah Sultan Perak menuntut setiap ahli Dewan memikirkan dan merencanakan masa depan yang panjang untuk kesejahteraan rakyat dan negeri Perak.

“Saya lihat pujian diberikan kepada ADUN Kota Tampan (Saarani) adalah persiapan untuk kita dan ahli politik lain membuat perubahan besar.

“Jadi kita harus lakukan saranan itu kerana secara tidak langsung ia juga membuka ruang pimpinan peringkat nasional untuk selesaikan masalah yang dihadapi ketika ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN