YAN: “Ibu saya bagi tahu dia nak pergi ke lokasi tempat mayat ayah ditemukan hari ini sejak semalam lagi. Ibu saya kata ayah saya tunggu dia di kawasan tersebut”.
Itu cerita Ku Ahmad Husaini Ku Shuib, 59, yang merupakan anak kepada Ku Shuib Ku Abdullah, 91, iaitu mangsa kepala air di Gunung Jerai yang ditemukan mati di sebuah kawasan chalet di Batu Hampar di sini pada pukul 3.23 petang ini.
Menurut Ku Ahmad Husaini, ibunya, Kalsom Abdullah, 85, beberapa kali mengajak anak-anaknya membawanya ke kawasan tempat arwah ditemukan mati di bawah timbunan kayu itu.
Katanya, bagaimanapun dia tidak membawa ibunya ke tempat tersebut kerana keadaannya yang uzur.
“Bagaimanapun, saya dan beberapa ahli keluarga pergi mencari ayah di kawasan tersebut namun tidak ditemukan. Saya terkejut apabila dimaklumkan mayat ayah ditemukan di kawasan yang telah saya cari sebelum ini.
“Firasat ibu saya tepat apabila mayat ayah saya berada di lokasi tersebut,” katanya ketika ditemui di Hospital Yan di sini hari ini.
Mayat Ku Shuib yang merupakan bekas imam Masjid Yan di sini merupakan mayat kelima yang ditemukan selepas kejadian kepala air di Gunung Jerai di sini pada Rabu lalu.
Sekumpulan anggota bomba melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menemukan mayat warga emas itu di bawah timbunan kayu di tempat tersebut pada pukul 3.23 petang.
Mayat warga emas itu ditemukan dalam keadaan baik walaupun dihanyutkan arus deras bersama bongkah batu dan kayu dalam tragedi kepala air itu.
Selain itu, Ku Ahmad Husaini yang tinggal di Selayang, Selangor berkata, dia juga percaya mayat bapanya juga berada di kawasan itu kerana katil dan tilam serta kenderaan keluarganya juga ditemukan di lokasi berkenaan.
Tambahnya, dia bersyukur mayat bapanya ditemukan selepas lima hari hilang akibat dibawa arus deras dalam tragedi itu.
“Alhamdulillah mayat ayah ditemukan, ada kubur arwah ayah saya untuk anak-anak ziarah,” katanya.










