PUTRAJAYA: Setelah Felda Sungai Koyan 3 dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 31 Julai lalu, peneroka di Felda Sungai Koyan 1 dan 2 yang terletak di dalam Mukim Ulu Jelai, Lipis, Pahang juga berdepan perintah sama bermula Sabtu hingga 20 Ogos ini.
Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, lima lagi lokaliti di tiga buah negeri lain turut dikenakan PKPD iaitu di Kelantan melibatkan Kampung Morak, Mukim Kebakat, Jajahan Tumpat dan di Kedah membabitkan Taman Nilam (Zon Biru) Mukim Kuah, Langkawi.
“Di Sabah pula meliputi perumahan kilang sawit Veetar di Tongod serta Kampung Baru Pasir Putih dan Kampung Wallace Bay, Pulau Sebatik, Tawau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu tambah beliau, tiga lokaliti dalam Mukim Sura, Terengganu dilanjutkan lagi PKPD sehingga 16 Ogos ini melibatkan Rumah Awam Kos Rendah Gong Pasir, Kampung Gong Pasir dan Taman Maidam selain Kompleks Penjara Bentong; kuarters di Gugusan Mempaga, Bentong, Pahang serta Kampung Joh dan Kampung Maka, Jajahan Machang, Kelantan sehingga 20 Ogos.
Bagaimanapun katanya, 22 lokaliti lagi ditamatkan PKPD di tiga negeri secara serentak esok seperti dijadualkan antaranya di Kampung Dewan Besar Labok, Machang, Kelantan.
Katanya, di Pahang, ia melibatkan 14 lokaliti Temerloh iaitu Taman Bahagia, Taman Bahagia Indah, Taman Bahagia Makmur, Taman Bahagia Permai, Taman Bahagia Courts, Kampung Padang Lalang, Taman Perumahan Sri Kemuning, Flat Sri Kemuning, Taman Temerloh Jaya, Taman Temerloh Jaya Indah, Taman Temerloh Makmur, Felda Lakum, Kampung Paya Keladan dan Taman Keladan Indah.
“Di Sabah, ia membabitkan Kampung Pukak, Mukim Tengah dan Projek Perumahan Rakyat Gayang Ria, Mukim Berungis, Tuaran; Kampung Gumandang, Kudat; Kampung Lumatai Ulu, Beaufort serta Kampung Banting, Kampung Kawang dan Kampung Ulu Bole, Sipitang,” katanya.










