CYBERJAYA: Para pengguna Twitter di negara ini akan berpeluang menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan negara yang ke-64 dan Hari Malaysia susulan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan Twitter Inc. yang membangunkan satu emoji Twitter khas.
SKMM dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan membangunkan emoji khas itu adalah sebahagian daripada inisiatif Malaysia Prihatin bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2021.
Menurutnya, emoji khas yang dibangunkan secara percuma ini boleh digunakan sebagai salah satu cara untuk menzahirkan perasaan dan semangat cinta kepada negara.
“Untuk itu, emoji Twitter khas tersebut dipadankan dengan tanda pagar yang dipersetujui penggunaannya iaitu #MalaysiaPrihatin, #MalaysiaMerdeka, #MenangBersama dan #HariMalaysia.
“Pengguna hanya perlu memasukkan tanda pagar berkenaan dan emoji yang dimaksudkan akan dipaparkan secara automatik,” katanya di sini hari ini.
SKMM berkata, jangka masa penggunaan emoji khas dan tanda pagar tersebut adalah untuk satu tempoh terhad iaitu bermula dari 31 Ogos ini sehingga 16 September ini.
“Sehubungan itu, SKMM ingin mengajak para pengguna Twitter di negara ini untuk tampil menggunakan emoji yang dibangunkan bagi memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia nanti,” katanya. – UTUSAN ONLINE