Dua geng 2-stroke lawan arus ditahan - Utusan Malaysia

Dua geng 2-stroke lawan arus ditahan

DUA suspek yang ditahan bersama motosikal mereka dalam Op Samseng Jalanan di Kuala Selangor, Selangor malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Tindakan dua pemuda menunggang motosikal secara berbahaya termasuk menongkah arus di sekitar Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur di sini, memakan diri apabila ditahan polis, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi, suspek berusia 20 dan 22 tahun itu turut didapati tidak memakai topi keledar sekali gus membahayakan pengguna jalan raya lain.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, penahanan itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota trafik yang menjalankan Op Samseng Jalanan di sekitar daerah ini bermula pukul 11 malam tadi.

Katanya, hasil pemantauan mendapati dua lelaki masing-masing menunggang motosikal Kawasaki KR150 dan Yamaha 125z dalam keadaan mencurigakan.

“Mereka dilihat menunggang secara bersaing dan berpatah balik secara melawan aliran trafik di Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur berkenaan.

“Anggota polis kemudian mengekori dan menghampiri suspek lalu menahan mereka bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ramli, kedua-dua suspek bersama motosikal dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor untuk tindakan lanjut.

“Mereka ditahan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya.

“Jika sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda maksimum RM15,000,” katanya.

Tambah beliau, dalam operasi sama, pihaknya turut menahan empat lelaki termasuk remaja berusia 17 hingga 23 tahun di beberapa kawasan lain.

“Kesemua enam individu yang ditahan dikenakan tindakan saman kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Selain itu, enam saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas,” katanya.

Sehubungan itu, Ramli menggesa orang ramai menyalurkan sebarang maklumat mengenai aktiviti samseng jalan yang dipandang serius pihaknya dan akan dibanteras secara habis-habisan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN