SEREMBAN: Isu mengenai gabungan persatuan karate di Negeri Sembilan yang tertangguh lebih tiga tahun akan dibincangkan esok.
Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) dijadual mengadakan perbincangan rasmi bersama semua pihak berkaitan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Perkara itu mendapat perhatian selepas campur tangan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Presiden Persatuan Karate Daerah Seremban, Datuk Zazlan Samin berkata, pihaknya menyambut baik
usaha berkenaan kerana kelewatan proses gabungan itu memberi kesan besar kepada pembangunan sukan berkenaan di negeri ini.
“Negeri Sembilan mempunyai jurulatih bertaraf antarabangsa yang berupaya melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi, namun usaha itu boleh terbantut tanpa pengiktirafan rasmi gabungan negeri.
“Lebih mengecewakan apabila ada antara atlet negeri yang berjaya meraih pingat emas, perak dan gangsa di Sukan Malaysia (Sukma) tetapi terpaksa mewakili negeri lain.
“Kami sudah menghantar surat berhubung isu ini sejak 2021 namun malangnya tiada jawapan diterima. Isu yang kami bangkitkan ini sangatlah penting demi masa depan atlet karate di Negeri Sembilan,” katanya
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sambutan Hari Malaysia 2025 di sini, hari ini.
Seramai 250 pelajar sekolah serta atlet persatuan karate dari lima daerah turut berarak bagi menyemarakkan sambutan.
Sementara itu, Setiausaha persatuan, R. Saravanan berkata, kegagalan bergabung di bawah badan induk negeri, Persatuan Karate-do Negeri Sembilan (NSKA) menimbulkan implikasi serius, termasuk semangat kenegerian atlet yang terhakis.
“Pelajar dan atlet berasa terkilan apabila tidak dapat mewakili negeri kelahiran sendiri malah ada yang terpaksa bertukar jersi negeri lain untuk kejohanan besar seperti Sukma
“Daripada aspek pembangunan, mereka juga kehilangan peluang pendedahan serta latihan dengan jurulatih bertauliah dan kemudahan Majlis Sukan Negeri,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap isu sama tidak berulang pada masa depan.-UTUSAN.










