Dalang, ahli Geng Epul BBS diburu - Utusan Malaysia

Dalang, ahli Geng Epul BBS diburu

ZAINAL Mohamed (kiri) menunjukkan motosikal dirampas polis di Balai Polis Rawang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dalang serta beberapa ahli sindiket dikenali Geng Epul BBS diburu polis dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kenderaan di sekitar Rawang di sini.

Kegiatan bermula sejak awal tahun ini terbongkar selepas dua ahli kumpulan itu cuba melarikan sebuah motosikal di kawasan lot Rawang Mutiara di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 22 tahun manakala rakannya yang berusia 35 tahun berjaya meloloskan diri.

Katanya, siasatan mendapati sindiket itu menyasarkan kereta buatan tempatan dan motosikal mengikut pasaran semasa dengan komponennya dileraikan untuk dijual bagi mengaut keuntungan.

“Suspek didapati mempunyai dua rekod jenayah mengikut Seksyen 380 dan 379A Kanun Keseksaan.

“Turut dirampas 13 motosikal dan tiga kereta Proton Iswara dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM60,000,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Zainal, susulan penahanan itu, sebanyak 14 kes curi kenderaan membabitkan 12 di Gombak, masing-masing satu di Sentul dan Kota Tinggi, Johor berjaya diselesaikan.

Jelasnya, suspek direman empat hari hingga Ahad ini mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara setahun hingga tujuh tahun.

“Siasatan masih diteruskan untuk mengesan dalang dan beberapa lagi ahli kumpulan itu yang aktif mencuri kenderaan di kawasan bandar, rumah kedai serta premis komersial,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN