Russia sedia bantu ikut ‘kehendak’ Iran - Utusan Malaysia

Russia sedia bantu ikut ‘kehendak’ Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Russia menyatakan kesediaan membantu Iran dalam pelbagai bentuk susulan peningkatan ketegangan di Asia Barat namun jenis bantuan tersebut bergantung kepada keperluan pihak Tehran, menurut jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, dalam satu sidang media pada Isnin, lapor Anadolu Agency.

“Semuanya bergantung kepada apa yang Iran perlukan. Kami telah menawarkan usaha sebagai orang tengah. Ini adalah tindakan yang konkrit. Kami juga telah menyatakan pendirian kami dan ini sendiri merupakan bentuk sokongan penting terhadap pihak Iran,” kata Peskov kepada wartawan.

Ketegangan bermula pada 13 Jun apabila Israel melancarkan serangan mengejut ke atas beberapa lokasi di Iran termasuk fasiliti ketenteraan dan nuklear yang kemudian mencetuskan serangan balas dari Tehran.

Amerika Syarikat (AS) turut terlibat apabila melancarkan serangan terhadap tiga tapak nuklear utama Iran awal pagi Ahad. Presiden AS, Donald Trump mendakwa serangan itu menyebabkan kerosakan besar dan penghapusan menyeluruh ke atas fasiliti tersebut.

Mengulas mengenai pertemuan antara Presiden Vladimir Putin dan Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi di Moscow, Peskov berkata perbincangan itu memberi ruang untuk pertukaran pandangan serta membolehkan Tehran menyampaikan cadangan dan visi mereka berkaitan situasi semasa.

Peskov turut menyatakan bahawa semakin ramai pihak luar terlibat dalam konflik ini, sambil menambah Moscow mengecam perkara tersebut dan amat kesal dengan perkembangan yang berlaku.

Beliau juga mendedahkan bahawa isu Iran sering dibincangkan dalam perbualan antara Putin dan Trump namun Putin tidak dimaklumkan tentang serangan yang berlaku pada Ahad.

“Kami percaya bahawa nasib kepimpinan sesebuah negara harus ditentukan oleh rakyat negara itu sendiri bukan oleh negara luar atau pemimpin negara ketiga,” kata Peskov ketika mengulas kenyataan Trump yang menggesa perubahan kepimpinan di Iran.

Peskov menegaskan bahawa serangan AS terhadap Iran tidak akan menjejaskan dialog antara Moscow dan Washington kerana kedua-duanya merupakan proses yang berasingan.

Beliau turut menyentuh kebimbangan berhubung risiko radiasi susulan serangan ke atas fasiliti nuklear Iran.

“Kita belum pasti apa sebenarnya yang berlaku ke atas fasiliti nuklear itu dan sama ada terdapat ancaman radiasi.

“Walaupun Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) menyatakan setakat ini tiada tanda pencemaran radiasi namun semua persoalan ini adalah isu yang sewajarnya menimbulkan kebimbangan yang sah,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×