Daerah Yan, Kuala Muda diisytihar kawasan bencana tahap satu - Utusan Malaysia

Daerah Yan, Kuala Muda diisytihar kawasan bencana tahap satu

SALAH sebuah rumah yang rosak di Kampung Sungai Badak, Gurun selepas kejadian kepala air dari berapa kawasan peranginan di kaki Gunung Jerai, Yan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Kerajaan negeri mengisytiharkan daerah Yan dan Kuala Muda sebagai kawasan bencana tahap satu berdasarkan arahan tetap Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sehubungan itu, menurut Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor, semua agensi kerajaan dan badan berkanun yang berkaitan dengan pengurusan operasi bencana kini sedang mengambil pelbagai langkah perlu.

Ini jelasnya, bagi memastikan musibah yang melanda dapat ditangani dengan berkesan.

“Pihak swasta dan juga badan-badan sukarela yang mahu membantu akan diberikan latihan yang mencukupi di bawah penyelarasan MKN,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas beliau, kerajaan negeri merakamkan rasa dukacita yang amat mendalam berikutan kejadian banjir kilat dan serangan kepala air di kedua-dua daerah khususnya sekitar kaki Gunung Jerai pada petang kelmarin.

“Kejadian tersebut telah meragut beberapa nyawa dan menjejaskan kehidupan penduduk di kawasan itu,” katanya.

Beliau bagi pihak pimpinan kerajaan negeri dan pegawai-pegawai tadbir mengucapkan takziah dan berkongsi rasa sedih yang amat mendalam dengan setiap keluarga yang kehilangan insan tersayang dalam kejadian itu.

“Kerajaan negeri akan berusaha dengan sebaik mungkin dan melakukan apa sahaja yang perlu untuk memulihkan keadaan dan kehidupan penduduk yang terjejas.

“Meskipun kita sedang bergelut dengan musibah, saya ingin mengingatkan orang ramai terutama mereka yang terbabit, para petugas kerajaan dan juga sukarelawan yang turun membantu di lapangan agar sentiasa menjaga diri kerana ancaman Covid-19 masih berlegar di persekitaran kita,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN