Covid-19 makin serius, Gerakan gesa Pulau Pinang tubuh jawatan kuasa khas  - Utusan Malaysia

Covid-19 makin serius, Gerakan gesa Pulau Pinang tubuh jawatan kuasa khas 

 OH TONG KEONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang digesa segera menubuhkan jawatan kuasa khas untuk membanteras penularan pandemik  Covid-19 susulan kadar kebolehjangkitan kes itu di negeri ini paling tinggi di negara ini, ketika ini.

Pengerusi Parti Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, kerajaan negeri juga perlu menubuhkan pasukan petugas khas kecemasan komuniti dan mewujudkan talian bantuan dalam tiga bahasa untuk membantu dalam pengendalian isu-isu Covid-19.

Jelasnya, pandemik Covid-19 merebak ke seluruh Pulau Pinang dengan kadar penularan yang pantas kerana mereka yang berjangkit tidak dikuarantin dengan segera dan akhirnya menyebabkan ahli keluarga serta jiran mereka turut dijangkiti.

Beliau berkata, secara puratanya ketika ini seramai 105 orang dalam kalangan 100,000 penduduk Pulau Pinang dijangkiti Covid-19 dan kadar jangkitan itu sangat membimbangkan.

“Kini, kadar kebolehjangkitan negeri Pulau Pinang melebihi Selangor, keadaan mungkin menjadi lebih serius pada masa depan.

“Sekiranya keadaan ini tidak ditangani dengen segera, akibatnya menjadi lebih parah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Tong Keong, kerajaan negeri juga perlu menubuhkan pasukan petugas khas kecemasan komuniti dan mewujudkan talian bantuan di kesemua 40 Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) supaya bantuan segera dapat dihulurkan kepada penduduk yang terkesan.

Katanya, adalah penting untuk kerajaan negeri mewujudkan talian bantuan dalam tiga bahasa supaya kerja pengaturan dan penghantaran pesakit yang serius ke hospital dan usaha bantuan dapat dijalankan dengan berkesan.

“Kerajaan negeri harus mengambil berat keadaan Covid-19 di negeri ini kerana rakyat Pulau Pinang tidak lagi mampu berdepan dengan satu lagi serangan virus, khususnya varian Delta yang telah memburukkan keadaan Covid-19 di negeri ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN