Cikgu Man dilantik Pengurus Besar Perak FC - Utusan Malaysia

Cikgu Man dilantik Pengurus Besar Perak FC

AZMAN NOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Dua bulan selepas meletak jawatan pengurus pasukan Perak II, Azman Noh masih mendapat kepercayaan apabila dilantik sebagai Pengurus Besar Perak FC.

Pelantikan Azman yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Daerah Manjung ( PBSDM) yang berkuatkuasa serta merta itu diumum oleh Ahli Lembaga Pengarah Kelab itu, Khairul Shahril Mohamad.

“Ahli Lembaga Pengarah telah melantik Azman Noh atau Cikgu Man sebagai pengurus besar Perak FC.

“Kita mengambil contoh Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Negeri Sembilan yang tiada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO ).

“Sebaliknya mereka ada pengurus besar untuk menguruskan pasukan. Kita kira itu akan membantu untuk menjalankan tanggungjawab sepertimana CEO dahulu dengan dibantu oleh pihak pengurusan Perak FC itu sendiri.

“Jadi selepas ini, segala urusan Perak FC bolehlah berhubung dengan Azman,” katanya kepada pemberita selepas Program Kempen Kibar Jalur Gemilang Negeri Perak 2021 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia, Ipoh semalam.

Shahril yang juga Pengerusi Jawatan Kuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia itu mengakui kecewa berikutan kekalahan 0-5 Perak FC kepada kepada JDT semalam tapi memang menjangkakan akan kekalahan kepada gergasi bola sepak negara itu.

Sementara itu, Azman ketika dihubungi menyifatkan pelantikannya itu sebagai satu tanggungjawab besar dan bertekad melaksanakan amanahnya yang diberikan dengan sebaik mungkin

“Tanggungjawab diberikan memang berat. Saya mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Pengarah Perak FC dan Persatuan Bola Sepak Perak ( Pafa) kerana merestui pelantikan saya ini.

“Saya akan lakukan yang terbaik bagi memastikan Perak tidak terjerumus ke Liga Perdana, musim hadapan dan berharap mendapat kerjasama semua termasuk peminat setia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.