PETALING JAYA: Calon Perdana Menteri kesembilan dari UMNO perlu membersihkan nama parti dari tuduhan mencampuri kes mahkamah.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris dalam satu kenyataan berkata, calon tersebut juga haruslah berkeupayaan untuk menyatukan kembali perselisihan dan mengangkat imej parti.
“Saya menyeru kepada semua pemimpin UMNO yang sedang berhadapan di mahkamah termasuk diri saya supaya dibicarakan dan dihakimi dengan adil tanpa campur tangan politik.” katanya.
Beliau turut mengekspresikan kebimbangan sekiranya UMNO akan ditolak rakyat lebih-lebih lagi dalam PRU-15 berikutan polemik politik yang menuding jari ke arah parti itu.
Wan Muhammad Azri dalam kenyataannya turut menegaskan bahawa dia menolak kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mendesak agar UMNO tidak menyokong Anwar dan DAP.
Menurutnya, UMNO perlu tegaskan kepada semua ahli Parlimen untuk mengikut ketetapan Perhimpunan Agung UMNO “No Anwar No DAP”.
“Saya menyeru agar seluruh ahli Parlimen UMNO bersepakat memilih calon Perdana Menteri yang dapat membawa Malaysia keluar dari krisis Covid-19, berkredibiliti, diterima rakyat, berkebolehan memimpin negara, mempunyai hubungan baik dengan pemimpin-pemimpin luar dengan tujuan dapat memulihkan ekonomi negara, sekali gus menyelesaikan kemelut ekonomi rakyat,” kata Azri.
Setelah perletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan pada 16 Ogos lalu, proses pelantikan Perdana Menteri kesembilan kini dijalankan.










