KANGAR: Perlis akan mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar aktiviti rentas negeri termasuk dalam urusan kerja sama ada kerajaan atau swasta selain tujuan ziarah tidak dibenarkan.
Hal demikian kerana, rentas negeri terus menjadi antara punca utama peningkatan ketara kes Covid-19 di negeri ini dengan hari ini sahaja sebanyak 21 kes baharu dilaporkan iaitu jumlah kes harian tertinggi pernah direkodkan di Perlis sejak tercetusnya pandemik tersebut pada tahun lalu.
Jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Perlis setakat ini adalah sebanyak 725 kes melibatkan lapan kematian.
Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, sebahagian besar kes positif Covid-19 di Perlis adalah berkaitan dengan tindakan rentas negeri oleh individu-individu tertentu.
Katanya, kebanyakan individu merentas negeri dengan kebenaran pihak berkuasa sama ada berulang-alik ke tempat kerja atau bekerja di Perlis namun terpaksa merentas ke negeri lain atas urusan kerja.
Dalam masa sama katanya, ada kes melibatkan rentas negeri bagi tujuan menziarahi kematian atau atas alasan kesihatan seperti bersalin.
“Inilah (rentas negeri) punca utama peningkatan kes di Perlis kebelakangan ini. Jangan lupa, mereka yang telah mendapat dua dos vaksin juga masih berpotensi untuk menyebarkan virus tersebut walaupun ia tidak berisiko untuk mendapat jangkitan atas diri sendiri kerana telah ada imuniti diri.
“Di dalam mesyuarat MKN akan datang, saya akan mengesyorkan supaya aktiviti rentas negeri melibatkan kerja sama ada kerajaan atau swasta tidak dibenarkan.
“Dalam masa sama, aktiviti ziarah juga dicadangkan tidak dibenarkan. Tapi semua cadangan tersebut tertakluk kepada pertimbangan dan kelulusan mesyuarat khas MKN tersebut,” katanya.
Sementara itu, Azlan berkata, peningkatan kes sejak kebelakangan ini bagaimanapun tidak menghalang untuk Perlis beralih ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam tempoh terdekat.
Katanya, Perlis telah memenuhi ketiga-tiga syarat untuk beralih ke fasa tersebut melalui jumlah kes, jumlah katil untuk pesakit Covid-19 dan kadar vaksinasi dua dos yang telah mencapai 40 peratus.
“Saya juga menyeru kepada seluruh rakyat Perlis supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan lebih ketat. Kerajaan negeri akan teruskan usaha vaksinasi yang kini telah meningkat lebih 3,000 dos sehari,” katanya.
Kejayaan Perlis mengurus wabak tersebut sehingga kerap merekodkan sifar kes sebelum ini menarik perhatian ramai sehingga tercetusnya jenaka dalam kalangan netizen yang mahu pindah ke negeri ini.
Bagaimanapun kebelakangan ini, kes Covid-19 di Perlis menunjukkan peningkatan sehingga negeri ini kembali berubah kepada zon merah wabak tersebut.










