Bungkus air ketum dengan pembalut nasi lemak elak dihidu polis

Bungkus air ketum dengan pembalut nasi lemak

BUNGKUSAN air ketum yang dirampas daripada seorang peniaga nasi lemak dalam serbuan di sebuah kedai di Bagan Dalam, Butterworth, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Seorang peniaga air ketum berusia 44 tahun di sini cuba mengaburi mata pihak berkuasa apabila membungkus minuman itu dengan pembalut nasi lemak. 

Bagaimanapun, tindakannya itu berjaya dikesan polis yang melakukan pemeriksaan di sebuah kedai makan di Bagan Dalam, di sini hari ini. 

Dalam serbuan kira-kira pukul 1 tengah hari itu, polis turut menahan pekerja lelaki di kedai makan itu yang berusia 23 tahun untuk siasatan lanjut. 

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, serbuan itu dibuat susulan penahanan seorang lelaki berusia 41 tahun di hadapan sebuah flat di Bagan Dalam, dekat sini kira-kira pukul 11.50 pagi. 

Dalam operasi pertama itu jelasnya, pihaknya menemukan tong sampah berwarna hitam yang mengandungi 10 bungkusan plastik lutsinar berikat getah dipercayai air ketum. 

Ujar beliau, hasil siasatan lanjut ke atas lelaki berkenaan membawa kepada serbuan di sebuah kedai nasi lemak di kawasan itu dan menahan peniaga serta seorang pekerja berkenaan. 

“Selain itu, polis turut menemukan tiga bungkusan kertas (pembalut makanan) dan apabila dibuka terdapat bungkusan plastik lutsinar berikat getah disyaki air ketum,” katanya. 

Menurut Noorzainy, pemeriksaan lanjut di bahagian dapur kedai itu menemukan dua tong berwarna oren mengandungi 205 bungkus plastik lutsinar berikat getah dipercayai mengandungi air ketum. 

Turut ditemukan tambahnya, sebuah periuk yang mengandungi daun ketum serta peralatan memasak air ketum seperti dapur, tong gas, penapis air dan sudip kayu. 

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.