Bukan masa merebut kuasa - Tengku Hassanal - Utusan Malaysia

Bukan masa merebut kuasa – Tengku Hassanal

TENGKU HASSANAL IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Umat Islam khususnya di negeri ini diingatkan agar mementingkan sikap bersatu padu dan tolong-menolong terutama dalam keadaan wabak pandemik Covid-19 yang masih menyerang.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, ketika ini bukan masa sesuai untuk merebut kuasa dan menimbulkan persengketaan.

Titah baginda, sebaliknya rakyat ketika ini perlu berperang dengan musuh yang tidak kelihatan dengan hidup bersatu-padu tanpa mengira agama, warna kulit dan fahaman politik.

“Sehubungan itu juga, rakyat harus bertindak lebih prihatin dengan keadaan masyarakat sekeliling khususnya yang memerlukan bantuan di musim pandemik ini. Agensi kerajaan mahupun swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sesiapa sahaja perlu cakna dengan keadaan semasa.

“Saya tidak mahu ada rakyat di negeri ini terpinggir dan berada dalam kelaparan kerana tidak mempunyai makanan serta keperluan asas mencukupi untuk meneruskan kehidupan.

“Satu bakul makanan yang berharga lebih kurang RM100 mungkin kecil bagi kita tetapi pada mereka yang susah ia amat besar nilainya,” titah baginda pada majlis perasmian sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang yang diadakan secara dalam talian, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Tengku Hassanal turut bertitah mengingatkan umat Islam dan semua rakyat Pahang agar meningkatkan semangat kejiranan yang juga dituntut ketika ini.

“Dalam situasi berdepan pandemik ini, anak-anak yang jauh tidak dapat pulang ke kampung, saudara-mara pula tidak dapat berziarah, jiranlah yang memainkan peranan yang penting.

“Pepatah ada berkata, jangan jaga tepi kain orang, mungkin sudah tidak lagi relevan ketika ini. Kita kena sentiasa prihatin kepada kejiranan masing-masing dan berikanlah bantuan bersesuaian kepada mereka yang memerlukan.

“Firman Allah SWT juga ada menyebut di dalam surah Al-Maidah ayat kedua… Dan tolong-menolonglah kamu dalam membuat kebajikan dan taqwa dan janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa dan bermusuhan,” titah baginda. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya