Bukan Ismail Sabri khianati parti, Ahmad Zahid perlu letak jawatan - Penganalisis - Utusan Malaysia

Bukan Ismail Sabri khianati parti, Ahmad Zahid perlu letak jawatan – Penganalisis

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak boleh dilabel mengkhianat parti hanya kerana tindakan menentang keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan tampil berdiri bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Kartini Aboo Talib berkata, malah, adalah tidak wajar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mahu mengenakan tindakan ke atas Timbalan Perdana Menteri itu kerana tiada kesalahan dilakukan dan tidak melanggar mana-mana peraturan parti.

Beliau berkata, tindakan Ismail Sabri adalah patuh pada tugas dan tanggungjawab yang diberikan kerajaan adalah tepat sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Ahmad Zahid harus membezakan antara keperluan tugas-tugas Jemaah Menteri berbanding parti. Jika Ahmad Zahid sendiri tidak berupaya membezakan tanggungjawab ini, maka itu petanda Ahmad Zahid harus letak jawatan kerana tidak lagi peka dan tidak sihat dalam membuat keputusan kerana dipengaruhi emosi.

“Dalam hal ini bukan Ismail Sabri khianati parti, sebaliknya Ahmad Zahid yang jelas mengkhianati parti dan membelakangkan ahli UMNO apabila bersekongkol dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PKR,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Kartini berkata, Ahmad Zahid kini seolah-olah menjadi diktator yang cuba mengarah apa ahli kena buat dan turuti.

Justeru katanya, taat setia dan rasa hormat ahli UMNO kepada Presiden tidak perlu membuta tuli kerana jelas dalam situasi politik ketika ini, kepimpinan Presiden dipertikai dari segi dedikasi dan kewibawaan setelah beberapa siri kesalahan melibatkan integriti terhadap UMNO dan ahli-ahli UMNO.

Kata beliau, Ahmad Zahid sebaik-baiknya meletakkan jawatan secara terhormat, tidak perlu mendabik dada menegakkan benang yang basah dan berterusan bersekongkol dengan Pakatan Harapan untuk menjatuhkan kerajaan memandangkan usaha itu adalah sia-sia.

“Jika benar perjuangan Ahmad Zahid selama ini untuk bangsa, agama dan negara, maka beliau perlu dengan secara terhormat melepaskan jawatan Presiden UMNO, menumpukan tenaga dan usaha menjawab kes mahkamah beliau.

“Saya memuji Muhyiddin dan kerajaan kerana benar-benar mahu mengembalikan keluhuran pengasingan kuasa dengan tidak campur tangan dalam urusan kehakiman dan keadilan,” katanya.

Dalam satu laporan portal berita semalam, Ahmad Zahid berkata, Ismail Sabri berdepan ‘akibat’ dari tindakan menentang keputusan MT dan menyerahkan kepada Lembaga Disiplin UMNO untuk mengenakan tindakan ke atas beliau berpandukan Perlembagaan parti.

Ahmad Zahid mendakwa, Ismail Sabri pada mulanya bersetuju untuk akur keputusan parti untuk tarik sokongan daripada Perikatan Nasional (PN), malah memberitahu ahli MT yang beliau akan menuruti segala keputusan parti.

Bagaimanapun, dalam perutusan khas Perdana Menteri kelmarin, Ismail Sabri berdiri di belakang Muhyiddin ketika Perdana Menteri menyatakan bahawa beliau masih mempunyai majoriti dan kekal memegang jawatan itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN