Bersih 2.0 gesa kerjasama kerajaan-pembangkang diformalisasikan 

Bersih 2.0 gesa kerjasama kerajaan-pembangkang diformalisasikan 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) meminta supaya kerjasama antara kerajaan dan pembangkang diformalisasikan menerusi perjanjian pembekalan dan keyakinan (confidence and supply agreement).

Dalam kenyataan, Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 mengalu-alukan kenyataan bersama antara Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin pembangkang yang bertujuan meredakan suhu politik negara serta mencari titik persamaan bagi membawa negara ini keluar daripada pandemik Covid-19. 

“Bersih 2.0 memuji langkah yang dimulakan oleh kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang untuk kembali memfokuskan tenaga untuk memerangi pandemik Covid-19, memulihkan ekonomi negara dan menggerakkan penambahbaikan institusi demi kestabilan politik. 

Persefahaman dan persetujuan yang dicapai ini perlu segera dibincangkan dengan lebih mendalam dan dimuktamadkan dengan menandatangani perjanjian keyakinan dan pembekalan (CSA) serta diumumkan secara bersama kepada orang ramai bagi memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban terma yang dipersetujui. Garis masa untuk pelaksanaan reformasi-reformasi ini juga perlu dirangka,” katanya.

Tambahnya, Perdana Menteri juga perlu menjemput parti-parti lain dan ahli Parlimen bebas dalam pembangkang untuk membincangkan titik persamaan, serta memeterai persetujuan di antara parti-parti yang menyokong beliau. 

“Ini penting untuk menjamin kestabilan politik dan memberikan makna serta pengisian kepada slogan Keluarga Malaysia oleh beliau,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN