Berhimpun di Dataran Merdeka: Syed Saddiq, Hannah Yeoh pula diambil keterangan - Utusan Malaysia

Berhimpun di Dataran Merdeka: Syed Saddiq, Hannah Yeoh pula diambil keterangan

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua lagi ahli Parlimen hadir ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi memberi keterangan berhubung perhimpunan berhampiran Dataran Merdeka pada Isnin lalu.

Mereka yang hadir kira-kira pukul 3 petang ini ialah Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ini sekali gus menyaksikan enam ahli Parlimen telah dipanggil untuk dirakam percakapan hari ini.

Sementara itu, Syed Saddiq ketika ditemui pemberita turut mempersoalkan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menghalang ahli Parlimen masuk ke Parlimen, kelmarin.

Jelas beliau, sebagai ahli parlimen mereka mempunyai hak untuk menjalankan tugas tanpa halangan mana-mana pihak.

“Terdapat dua darjat di sini, bila kami sebagai ahli Parlimen dihalang untuk membawa suara rakyat di Parlimen.

“Sedangkan ada pemimpin yang berkumpul di rumah Perdana Menteri dan ahli Parlimen yang bermesyuarat hingga larut malam di hotel-hotel tapi tiada sebarang tindakan diambil,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee turut hadir memberi keterangan kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN