Berhenti jadikan Covid-19 alat politik - MBM - Utusan Malaysia

Berhenti jadikan Covid-19 alat politik – MBM

JUFITRI JOHA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Berhenti jadikan Covid-19 sebagai alat politik. Itu penegasan Majlis Belia Malaysia (MBM) yang meminta semua pihak tanpa mengira kiblat politik masing-masing agar berjiwa besar, duduk semeja dan bersatu dalam meraikan usaha menangani pandemik di negara ini.

Presidennya, Jufitri Joha berkata, semua percaya iaitu ‘exit door’ kepada penyakit itu adalah suntikan vaksinisasi.

Katanya, dengan kadar vaksinisasi dos kedua masih jauh menjangkau angka 50 peratus, ditambah penderitaan rakyat yang dihimpit masalah ekonomi dan membawa kepada kadar kes bunuh diri yang semakin meningkat, MBM menyifatkan ini bukan waktu sesuai untuk meneruskan perbalahan politik yang terus merungsingkan belia dan rakyat.

“MBM berdiri teguh bersama rakyat yang telah penat dan tidak menyebelahi mana-mana pihak menggesa dengan tegas agar pemimpin politik kasihankanlah rakyat, tumpukan perhatian penuh kepada pemulihan negara.

“Ini sehingga keadaan reda yang membolehkan pilihan raya diadakan bagi memberikan laluan rakyat memilih kerajaan pilihan mereka yang lebih stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Jufitri berkata, MBM menjunjung kasih titah Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah bahawa sekarang bukan waktu untuk pemimpin politik berebut kuasa dalam keadaan rakyat sedang menderita dengan pandemik Covid-19 yang berpanjangan.

Bahkan, kata beliau, baginda menyeru agar semua rakyat dan pemimpin mengamalkan sikap saling menolong tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik dalam memastikan nasib rakyat dapat diberikan fokus perhatian paling utama.

Beliau berkata, titah sama turut disampaikan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang menzahirkan rasa kecewa dengan tindakan pemimpin politik yang cuba mengganggu gugat kerajaan dan berebut kuasa.

Katanya, Sultan Ibrahim menegaskan agar pemimpin perlulah jujur dan amanah dalam memikul tanggungjawab yang diberikan, dengan mengutamakan kepentingan rakyat dan perpaduan ummah, bukannya kepentingan diri sendiri sehingga menggugat keharmonian masyarakat dan kestabilan politik tanah air.

“Teguran daripada baginda berdua seharusnya menjadi isyarat dan mesej jelas kepada semua ahli politik dalam keadaan rakyat sedang menderita dan kehilangan nyawa,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya