PETALING JAYA: Kerajaan dilihat belum bersedia mengumumkan keputusan memberi kelonggaran terhadap individu yang menerima suntikan lengkap dos vaksin berdasarkan situasi semasa dalam negara menyasikan peningkatan kes Covid-19.
Presiden Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM), Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, pengumuman kelonggaran tersebut sudah dijanjikan kerajaan sebelum ini, tetapi belum diumumkan.
“Kita boleh implementasi dalam suatu jangka masa pendek. Contohnya kes sudah menurun kepada angka 5,000, boleh dijalankan kelonggaran tetapi sekarang kes masih tinggi dan perlu dititikberatkan dari segenap sudut.
“Mungkin kerajaan dengan kaji selidik Kementerian Kesihatan (KKM) belum bersedia memberikan kelonggaran. Namun, kita boleh longgarkan mengikut zon setempat seperti zon hijau di sesetengah kawasan. Perlu lihat ikut keadaan setempat tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.
Pada 1 April lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, rakyat yang sudah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 akan dibenarkan melakukan perjalanan rentas negeri dan daerah.
Terbaharu semalam, Muhyiddin berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang memperincikan kemudahan kepada individu yang telah lengkap mendapat dua dos suntikan vaksin selain membincangkan kemudahan yang bakal dinikmati sektor ekonomi.
“Perkara ini perlu diperhalusi dengan berhati-hati bagi memastikan usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi dan kualiti hidup rakyat dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan,” katany.

Sementara itu, Pemangku Pengarah Penyelidikan Institut Genom Malaysia (NIBM), Dr. Mohd. Anuar Jonet berkata, perkara asas melibatkan kelonggaran pergerakan adalah sejauh mana masyarakat boleh mematuhu prosedur operasi standard (SOP).
Katanya, kerisauan sekarang adalah mengenai tanggapan golongan lengkap dua dos vaksin itu bahawa mereka sudah bebas (SOP).
“Sekiranya rakyat boleh patuh dan kadar jangkitan menurun, itu indikator terbaik kelonggaran boleh diberikan. Sekarang, penerima vaksin sudah terlindung, namun tidak dilupakan masih ada yang belum menerima vaksin dan berpotensi menjadi perumah kepada virus. Sepatutnya, SOP dipatuhi, dengan peningkatan jumlah vaksinasi rakyat baru boleh fikir untuk berikelonggaran.
“Pemakananan baik mempengaruhi kadar tindakbalas vaksin terhadap virus. Senjata melawan virus adalah sistem imun badan. Yang membantu sistem imun bertindak balas baik adalah pemakanan dan rehat yang cukup,” katanya. – UTUSAN ONLINE