'Banyak kejayaan dilakar, namun saya terkilan' - Tok Pa - Utusan Malaysia

‘Banyak kejayaan dilakar, namun saya terkilan’ – Tok Pa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed menzahirkan perasaan terkilan kerana tidak sempat meneruskan tugas terutama bagi pembangunan luar bandar.

Beliau juga turut terkilan tidak mempunyai kesempatan melawat setiap negeri dan agensi di bawah Unit Perancang Ekonomi (EPU) dalam tempoh perkhidmatannya mengemudi jabatan itu.

Bagaimanapun, beliau bersyukur memperoleh hubungan rapat dan saling menghormati dalam membincangkan pelbagai isu secara terbuka sekali gus mewujudkan suasana kerja amat baik bersama warga jabatan itu.

“Dalam tempoh 17 bulan ini selepas menerajui EPU pada 11 Mac tahun lalu, cabaran utama Covid-19, banyak peristiwa dikongsi bersama, antaranya pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) ditunda empat kali begitu juga banci penduduk juga ditunda empat kali.

“Selain itu, perkara mencabar bagi saya perjanjian projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) antara Kuala Lumpur dan Singapura, dan kita juga mencapai banyak kejayaan antaranya Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, memuktamadkan RMK-12, sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) dan memantapkan Jabatan Perangkaan,” katanya dalam rakaman video hari ini.

Menurut Mustapa, antara kejayaan terbesar ialah memuktamadkan pelan pemulihan Felda untuk menghapuskan sebahagian hutang peneroka dengan kira-kira 90,000 peneroka menyatakan persetujuan.

Beliau berkata, banyak sesi libat urus berjaya dilaksanakan antara pelbagai sektor untuk memberikan input kepada penggubalan dasar kerajaan.

“Saya bersyukur dalam menyumbang kepada kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membangunkan negara kita. Saya kagum dengan tahap profesionalisme dan kebolehan pegawai-pegawai kerajaan.

“Pegawai-pegawai bekerja penuh komitmen untuk memuktamadkan RMK-12, enam bulan bekerja intensif untuk menghasilkan dokumen berkualiti,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mendoakan negara ini terus dipimpin oleh seorang tokoh yang mampu melonjakkan pencapaian negara.

“Saya berterima kasih kepada semua. Saya sekali lagi minta maaf jika ada kekurangan dan insya-Allah akan terus perjuangkan kepentingan rakyat kita dan akan terus berkhidmat untuk rakyat secara profesional dengan dedikasi dan komitmen,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN