PETALING JAYA: Bank Islam Malaysia Berhad menghayati semangat berkongsi kemakmuran dengan membantu sebanyak 366 penerima manfaat berbilang kaum di sembilan negeri sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-64.
Sejajar dengan tema perayaan tahun ini, Malaysia Prihatin, Bank Islam menyalurkan dana sebanyak RM100,000 daripada kelab kakitangan Bank Islam untuk membantu pelbagai kaum yang terjejas dengan menyediakan keperluan asas dan bantuan wang tunai, dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd. Muazzam Mohamed, berkata, kesan pandemik Covid-19 yang melampaui masalah kesihatan terus mempengaruhi ekonomi global dan kehidupan.
“Bank proaktif dalam menggerakkan sumber dan kepakarannya untuk membantu mengurangkan kesan buruk terhadap pelanggannya dan komuniti terutamanya di mana kami beroperasi.
“Walaupun terdapat ketidakpastian dalam situasi ekonomi semasa dan tekanan hebat yang dihadapi oleh bank untuk terus berdaya tahan, kami komited untuk memberikan sokongan menyeluruh untuk membantu komuniti yang terjejas melalui pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat kami,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurut Mohd. Muazzam, walaupun berdepan kesukaran semasa, bank itu telah menunjukkan prestasi yang mantap, melalui RM11.8 juta zakat perniagaan yang dibayar pada tahun kewangan 2020 berbanding RM10.8 juta pada tahun sebelumnya.
“Kami berterima kasih kepada pelanggan dan kakitangan atas sokongan berterusan dalam mengatasi masalah semasa. Sehingga Julai tahun ini, bank telah mengagihkan hampir RM2.3 juta dana zakat (Wakalah) untuk membantu rakyat Malaysia yang kurang bernasib baik.
“Bank Islam tetap komited untuk membantu mereka yang terjejas melalui sokongan penyelesaian kewangan kami yang pelbagai sejak pandemik melanda Malaysia, bukan sahaja kepada pelanggan tetapi segenap komuniti dalam semangat Malaysia Prihatin,” tambah beliau.
Hingga akhir Jun lalu, agihan dan sumbangan keseluruhan Bank Islam mencecah hampir RM4.0 juta kepada lebih 11,000 individu dan organisasi melalui pelbagai inisiatif, termasuk mengagihkan dana Sadaqa House kepada penerima di bawah empat sektor fokus, iaitu pendidikan, kesihatan, pemerkasaan komuniti dan alam sekitar.
Ia merangkumi penajaan tablet dan pelan data untuk 1,000 pelajar asnaf; program bantuan banjir; Projek Bantuan Rumah Baiti-Jannati DBKL; sumbangan keperluan makanan dan perubatan kepada asnaf dan sokongan kepada barisan hadapan di hospital terpilih, anggota polis dan tentera di seluruh negara. – UTUSAN ONLINE