Kawalan keselamatan sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN 2025

Kawalan keselamatan sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN 2025

ANGGOTA Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlibat dalam Taklimat Penugasan Sempena 47th Asean Summit and Related Summits yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan/Operasi) Bukit Aman, Datuk Fisol Salleh di Hangar Lapangan Terbang Lama, Bandar Malaysia baru-baru ini.-UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini berada pada tahap kesiapsiagaan penuh bagi memastikan kelancaran Persidangan ASEAN yang bakal menghimpunkan sehingga 23 ketua kerajaan di ibu negara minggu ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, persiapan keselamatan telah dimulakan sejak 16 Oktober lalu dengan pelaksanaan beberapa latihan dry run membabitkan laluan protokol utama.

Menurutnya, semua laluan protokol telah dikenal pasti dan penutupan jalan secara berperingkat akan dijalankan sepanjang tempoh sidang bagi memastikan pergerakan delegasi berjalan lancar.

“Kita tidak gunakan istilah lockdown kerana ia tidak tepat. Apa yang dilakukan hanyalah kawalan dan penutupan sementara di beberapa laluan tertentu atas faktor keselamatan,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen hari ini.

Saifuddin berkata, fokus utama keselamatan adalah terhadap ketua-ketua kerajaan berprofil tinggi, mengikut latar belakang negara masing-masing serta isu geopolitik semasa.

“Persiapan turut melibatkan lebih 20 hotel penginapan rasmi yang menempatkan tetamu dan delegasi, dengan koordinasi rapat antara pasukan keselamatan di Kuala Lumpur dan Selangor. 

“Saya menyeru masyarakat memberi kerjasama kepada pasukan keselamatan, khususnya di kawasan Kuala Lumpur Convention Center (KLCC) dan hotel penginapan tetamu. 

“Aktivis masyarakat sivil juga bebas menyampaikan pandangan, tetapi elakkan berhimpun dalam radius keselamatan,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, serta barisan kepimpinan PDRM di peringkat negeri yang sentiasa memberikan taklimat terkini mengenai status keselamatan menjelang persidangan tersebut. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN