KUANTAN: Semua pihak khususnya pimpinan politik disaran mengetepikan perbezaan, kembali bertaut dan memandang ke hadapan serta menumpukan hal rakyat dalam mendepani pandemik Covid-19.
Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, semua pihak sudah merasai jerih-perih dibadai krisis politik dan kesihatan yang paling mencabar dalam sejarah.
“Saya menyambut baik dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengetepikan apa jua kemelut politik dan mempamerkan solidariti.
“Ia untuk memastikan kemaslahatan dan keselamatan rakyat menjadi keutamaan, sesungguhnya rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tak berkesudahan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Abdul Rahman berkata, seperti yang semua sedia maklum, semua ahli Parlimen perlu mempersembahkan kepada Seri Paduka surat akuan menyatakan seorang Ahli Dewan Rakyat untuk melantik Perdana Menteri yang baharu.
“Siapa jua Ahli Dewan Rakyat yang dipilih nanti, ia adalah bukti penyatuan dan satu petunjuk bahawa kita semua bersatu hati menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong.
“Demi kesejahteraan rakyat di kala pandemik ini, maka marilah kita semua memberi sepenuh dukungan dan sokongan tidak berbelah bahagi kepada bakal Perdana Menteri yang akan dilantik setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Beliau berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah berlapang dada dan berjiwa besar memberi laluan kepada Perdana Menteri yang dipilih yang juga merupakan ahli parti keramat tersebut.
“Ini merupakan suatu pengorbanan dan perjuangan hebat seorang pemimpin dari sebuah parti yang selalu meletakkan keutamaan kepada agenda rakyat, iaitu UMNO. Ternyata UMNO mampu melakukan pengorbanan dan perjuangan sehebat ini.
“Semoga rakyat Malaysia terus dilindungi dan mendapat keberkatan Allah SWT. Marilah kita semua kembali bertaut demi rakyat dan negara,” katanya.










