BALING: Seekor gajah jantan liar digelar ‘Awang Bukit Hijau’ berjaya ditangkap dan dipindahkan setelah berkeliaran di kawasan hutan berdekatan Kampung Bukit Hijau, Kupang di sini hari ini.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar (Perhilitan) Kedah, Jamalun Nasir Ibrahim berkata, pihaknya menerima aduan penduduk mengenai kehadiran gajah tersebut di kampung itu sejak Jumaat lalu.
Menurutnya, ‘Awang Bukit Hijau’ itu yang berusia dalam lingkungan 18 hingga 20 tahun didapati merosakkan tanaman dan menimbulkan kebimbangan penduduk ke kebun masing-masing.
“Gajah itu dipercayai bergerak dari Hutan Simpanan Ulu Muda dan Gunung Inas merosakkan tanaman penduduk kampung seperti pisang, durian, kelapa, dokong dan kelapa sawit,” katanya di sini hari ini.
Beliau memberitahu, operasi memindahkan gajah tersebut dilakukan dengan menggunakan bantuan dua ekor gajah denak, Alang dan Rambai dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang bermula pukul 9 pagi hingga pukul 3 petang.
Katanya, seramai 40 petugas Perhilitan bertungkus-lumus bekerja bagi memastikan operasi penangkapan gajah liar itu berjalan dengan sempurna.
“Gajah tersebut sukar dijinakkan berikutan saiz badannya agak besar dan perlukan tambahan dos pelali agar ia tidak agresif.
“Awang Bukit Hijau itu akan dipindahkan ke Hutan Simpan Royal Belum, Gerik, Perak buat sementara waktu,” katanya.










