BERA: Dentuman kuat dan asap awan cendawan seakan letupan bom nuklear di Nagasaki, Jepun nyata menggerunkan penduduk di Felda Triang 1 di sini selepas sebutir bom era British seberat 226 kilogram diletupkan di tanah rancangan itu kelmarin.
Biarpun ditempatkan kira-kira satu kilometer dari lokasi bom jenis UXO Arial sepanjang 0.9 meter itu diletupkan, namun penduduk tetap merasai gegarannya yang dianggap seperti dalam zon perang.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, seorang generasi baharu Felda Triang 1, Ria Natasya Mustaffa, 19, berkata, melihat kepulan asap dan merasai gegaran kuat ekoran letupan bom itu merupakan pengalaman cukup berharga baginya.

Menurutnya, apabila merasai dan melihatnya sendiri, dia terfikir bagaimana pengalaman pejuang dan penduduk di Palestin yang setiap masa diancam serangan bom oleh tentera zionis Israel.
“Bagi saya ia (letupan bom) cukup menggerunkan. Ia seolah-olah seperti kita sedang berada dalam zon perang,” katanya di sini semalam.
Bom itu ditemukan di ladang Felda Triang 1 pada 2 Ogos lalu, kira-kira pukul 3.30 petang oleh seorang lelaki yang sedang melakukan kerja pembersihan di kawasan ladang sawit belakang rumahnya.
Operasi meletupkan bom itu dilakukan menerusi kepakaran unit pemusnah bom dari Bukit Aman dan Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang serta turut disertai 30 pegawai dan anggota termasuk dari Ibu pejabat Daerah (IPD) Bera dan Temerloh.
Ia menggunakan kaedah ‘membelah’ bom itu dan menggali parit serta membuat benteng guni pasir bagi mengurangkan impak gegaran.
Seorang lagi penduduk Felda Triang 1, Salawati Ibrahim, 52, berkata, penemuan bom era British yang kerap kali di tanah rancangan itu menimbulkan kebimbangan penduduk terutama keselamatan anak-anak.
“Kami bimbang keselamatan diri dan keluarga serta harta benda jika ledakan bom berlaku tidak sengaja ketika mengerjakan aktiviti tanah pertanian,” katanya.
Sementara itu, Ketua Peneroka Felda Triang 1, Mat Jidi Yaakob, 62, berkata, penduduk kini bimbang masih terdapat banyak bom lama di kawasan kampung dan ladang kelapa sawit yang belum meletup.
“Kira-kira 20 tahun lalu, sebanyak 10 bom lama dijumpai di padang Sekolah Kebangsaan (SK) (LKTP) Triang 1 yang ditulis wartawan Utusan Malaysia pada ketika itu, Nazeri Nong Samah,” katanya.










