PETLAING JAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan memastikan tiada rakyat Malaysia tercicir atau terpinggir daripada sebarang agenda mengembalikan kesejahteraan warganya serta mengurangkan kesan ekonomi berpanjangan.
Perdana Menteri berkata, kerajaan berjanji akan bersama dengan seluruh rakyatnya untuk membangunkan strategi baharu ekonomi negara termasuk menerusi penglibatan golongan muda.
“Usaha kita tidak akan terhenti setakat ini. Kita akan terus bekerja bersama rakyat untuk membangunkan strategi baharu ekonomi bagi melaksanakan beberapa perubahan mendasar.
“Seiring usaha mencapai objektif dan fokus tersebut, penglibatan anak muda amat diperlukan. Untuk itu, saya pastikan suara anak muda didengari dan diberikan tumpuan dalam kerajaan ini. Kepada anak muda di luar sana, jangan risau, penglibatan anda semua amat dihargai dan saya mengharapkan anda bersama dengan kerajaan ini untuk menjayakan agenda besar pemulihan negara,” katanya dalam ucapan khas Perdana Menteri kesembilan di sini hari ini.- UTUSAN ONLINE










