ASP polis dituduh minta, terima rasuah babitkan nilai RM35,000 - Utusan Malaysia

ASP polis dituduh minta, terima rasuah babitkan nilai RM35,000

BEBERAPA individu mengiringi lelaki yang kononnya pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintenden ketika tertuduh keluar melalui laluan belakang di Mahkamah Sesyen di Butterworth, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Seorang pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintenden (ASP) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah membabitkan nilai RM35,000 pada 2018.

Tertuduh, Ameyrudin Ahmad Zuki, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abd. Hamid.

Mengikut pertuduhan pertama, dia sebagai seorang ejen kerajaan iaitu Penolong Penguasa Polis didakwa secara rasuah menyetujui untuk menerima suapan RM20,000 daripada Muhamad Hisham Aziz.

Ia sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdaganan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 terhadap Muhamad Hisham.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di dalam biliknya di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, di sini kira-kira pukul 12 tengah hari pada 5 Ogos 2018.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Bagi pertuduhan kedua, Ameyrudin didakwa secara rasuah menerima suapan RM15,000 daripada individu sama sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang tersebut.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di dalam kereta jenis Perodua Axia di hadapan premis Hometown The Houseware Outlet di daerah Seberang Perai Tengah di sini kira-kira pukul 4.30 petang pada 7 Ogos 2018.

Dia didakwa melakukan kesalahan berkenaan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana-mana lebih tinggi bagi kedua-dua kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Azlan Basri manakala tertuduh diwakili peguam Shahrullah Khan.

Ameyrudin dibenarkan diikat jamin sebanyak RM7,000 beserta seorang penjamin manakala kes akan disebut semula pada 14 September ini.

Sementara itu, usaha jurugambar merakam foto tertuduh tidak berhasil apabila dia didakwa keluar melalui pintu belakang mahkamah sejurus selepas membayar jaminan.

Dalam masa sama, beberapa individu dipercayai berpura-pura mengiringi tertuduh sambil menutup kepala dengan sehelai jaket keluar dari mahkamah.

Terdahulu, tertuduh dikatakan hadir ke mahkamah dengan mengenakan jaket dan seluar jean berwarna biru serta bertopi hitam dengan diiringi kira-kira 15 individu yang mengenakan pakaian hampir sama.

Mereka tiba dengan menaiki beberapa kenderaan termasuklah dua buah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya