PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, selesai memberikan keterangan kepada polis berhubung perarakan sekumpulan ahli Dewan Rakyat ke bangunan Parlimen, Isnin lalu.
Difahamkan, Ahli Parlimen Port Dickson diambil keterangan di ibu pejabat PKR di sini, bersama Dr. Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Pandan pada pukul 11.30 pagi bagi proses dirakam percakapan.
Sementara itu, peguam Anwar, Datuk Sankara Nair memaklumkan, Anwar dan isteri memberi kerjasama penuh ketika pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil keterangan daripada mereka.
Beliau berkata, keterangan diambil hari ini tertumpu kepada siasatan berhubung perarakan sekumpulan ahli Parlimen pada Isnin lalu.
“Ahli Parlimen yang selebihnya memberi keterangan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi,” katanya sambil memaklumkan siasatan dibuat Bukit Aman dan pegawai penyiasat yang hadir adalah dari IPD Dang Wangi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, setakat ini Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kula Segaran; Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Kulim-Bandar Bharu); Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena); Datuk Seri Salahuddin Ayub (Pulai); dan Gobind Singh Deo (Puchong).
Isnin lalu, beberapa pemimpin pembangkang dilaporkan cuba memasuki pekarangan bangunan Parlimen selepas sidang khas Parlimen ditangguhkan atas nasihat Kementerian Kesihatan berikutan penularan Covid-19. – UTUSAN ONLINE










