BERA: Seorang anggota tentera yang terlibat dalam latihan Eksesais Para Predator di pesisir Sungai Pahang berhampiran Kampung Batu Bor di sini, dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai itu semalam.
Difahamkan, dalam kejadiaan kira-kira pukul 4.40 petang itu, mangsa yang berusia 27 tahun dan berasal dari Kedah terjatuh ke sungai ketika melakukan aktiviti penyusupan serta menyeberang sungai.
Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat mangsa digerakkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kira-kira pukul 5.40 petang semalam sebelum ditangguhkan pukul 7 petang.
Sementara itu adik mangsa, Noorsuhada Mohamad Isa, 24, berkata, dia mengetahui tentang kejadian tersebut selepas dihubungi isteri mangsa yang tinggal di Melaka petang semalam.
“Kali terakhir saya bertemu dengan abang pada awal tahun ini di kampung, saya mohon didoakan agar abang dapat ditemui dalam operasi mencari dan menyelamat,” katanya di sini hari ini.
Eksesais Para Predator adalah salah satu eksesais yang dilaksanakan Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui 10 Briged (PARA) yang berpangkalan di Kem Terendak, Melaka.
Ekksesais berskala besar selama 14 hari itu melibatkan seramai 1,894 anggota tentera dengan 151 aset logistik Tentera Darat Malaysia. – UTUSAN ONLINE