Ambil semangat Malaysia Prihatin perangi Covid-19 - Utusan Malaysia

Ambil semangat Malaysia Prihatin perangi Covid-19

SEREMBAN 12 Ogos - AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lobak, Chew Seh Yong membantu petugas Majlis Bandaraya Seremban (MBS), memasang Jalur Gemilang di bangunan Pasar Besar Seremban, semalam.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seluruh rakyat Malaysia perlu mengambil semangat Malaysia Prihatin bagi memerangi musuh bersama pada masa ini iaitu penularan pandemik Covid-19.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sambutan Hari Kebangsaan dan kempen kibar jalur gemilang pada tahun ini masih mengekalkan tema yang sama dengan tahun lalu iaitu ‘Malaysia Prihatin’.

“Tema ini secara signifikan menyeru agar seluruh rakyat di Negeri Sembilan dan Malaysia amnya, sama ada dalam kalangan penjawat awam, sektor swasta, sukarelawan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) mahupun orang perseorangan untuk turut bersama-sama memerangi musuh bersama pada masa ini iaitu penularan Covid-19 yang telah berlarutan hingga ke hari ini.

“Pada hakikatnya, melalui semangat ‘Malaysia Prihatin’ kita mahu seluruh masyarakat bersama-sama berusaha untuk menang dalam memerangi Covid-19 serta berusaha memulihkan semula ekonomi dan kehidupan rakyat ke arah yang lebih baik,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sembilan 2021 yang diadakan secara dalam talian hari ini.

Menurut Aminuddin, pandemik Covid-19 yang melanda negara telah memberi kesan terhadap kehidupan seluruh rakyat.

“Kita masih berdepan dengan jumlah kes harian positif yang tinggi namun dalam masa yang sama peratus vaksinasi kita telah mencapai jumlah yang membanggakan.

“Sehingga 10 Ogos 2021, sebanyak 653,938 orang (80.3 peratus) rakyat dewasa di Negeri Sembilan memperoleh dos pertama vaksin Covid-19 manakala seramai 441,798 (54.25 peratus) telah selesai vaksinasi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN